AM

Hantavirus: Pelabuhan Pulau Pinang Perketat Pemantauan Kesihatan Di SPCT

13/05/2026 01:28 PM

GEORGE TOWN, 13 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) mengambil langkah berjaga-jaga dan memperketat pemantauan kesihatan di Terminal Kapal Persiaran Swettenham Pier (SPCT) susulan laporan antarabangsa mengenai kluster kes hantavirus yang dikaitkan dengan sebuah kapal persiaran.

Pengerusi SPPP Datuk Yeoh Soon Hin berkata walaupun tiada jangkitan hantavirus direkodkan di Malaysia, suruhanjaya itu memandang serius perkara berkenaan bagi melindungi penumpang, kru kapal dan komuniti setempat dengan memperkukuh pemeriksaan sanitasi kapal serta pemantauan virus bawaan tikus di terminal berkenaan.

“Langkah ini dilaksanakan selaras dengan Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR 2005) dan menerusi kerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) serta agensi berkaitan.

“Penekanan diberikan kepada pengesanan awal sebarang petunjuk risiko kesihatan supaya tindakan segera dapat diambil selain memastikan kemudahan kesihatan di terminal sentiasa bersedia mengendalikan sebarang kes yang disyaki,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yeoh berkata aktiviti pemantauan penyakit berjangkit turut dipertingkat termasuk pemantauan berasaskan kejadian bagi mengesan sebarang insiden luar biasa dengan segera.

Beliau berkata kerjasama antara agensi seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan pihak berkuasa tempatan turut diperkukuh bagi memastikan kawalan vektor serta kebersihan persekitaran terus terpelihara.

Sementara itu, beliau turut menasihati semua penumpang dan kru supaya mengambil langkah pencegahan termasuk mengelakkan berlaku sentuhan dengan tikus atau najis haiwan itu, selain memakai pelitup muka dan sarung tangan ketika membersihkan kawasan tercemar.

Beliau turut menasihatkan mereka supaya segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala seperti demam, sakit otot, batuk atau sesak nafas selepas berada di persekitaran yang berpotensi membawa kepada penularan.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata Malaysia dalam tahap kesiapsiagaan penuh bagi menghadapi ancaman penularan hantavirus walaupun tiada kes melibatkan rakyat negara ini direkodkan.

Media antarabangsa melaporkan negara Eropah memperketat langkah pemantauan dan pengasingan susulan penularan hantavirus yang dikaitkan dengan kapal persiaran milik Belanda, MV Hondius.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2556335