KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- UEM Group Bhd dan anak-anak syarikatnya membelanjakan sejumlah RM5.5 bilion bagi mendapatkan perolehan daripada vendor dan pembekal Bumiputera di antara tahun 2023 dan 2025, kata Pengarah Urusannya Datuk Amran Hafiz Affifudin.
Komitmen anak syarikat milik penuh dan sayap infrastruktur utama Khazanah Nasional Bhd itu menjadi pemangkin utama pertumbuhan lebih 5,000 syarikat Bumiputera yang terlibat, merentasi pengurusan lebuh raya, perkhidmatan aset dan fasiliti, pembangunan hartanah serta bekalan bahan binaan.
“Ketika UEM Group terus berkembang dan memainkan peranan dalam projek infrastruktur yang lebih rumit, kita perlu memastikan rantaian bekalan tempatan berkembang seiring dengan tuntutan itu.
“Ini akan memastikan pulangan daripada pembangunan Malaysia dikongsi secara saksama, meletakkan asas berdikari dan kecemerlangan yang akan meningkatkan lagi nilai ekosistem tempatan di samping memastikan ekonomi negara terus berkembang di masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut syarikat itu, PLUS Malaysia Bhd (PLUS) selaku sayap pengendali lebuh raya dan UEM Edgenta Bhd (UEM Edgenta) selaku cabang pengurusan aset dan fasiliti, di bawah UEM Group, masing-masing telah memperuntukkan sejumlah 90 peratus dan 49 peratus daripada jumlah perbelanjaan perolehan mereka kepada syarikat Bumiputera sepanjang tempoh berkenaan.
UEM Group turut membimbing vendor Bumiputera menerusi pelaksanaan berterusan Program Pembangunan Vendor Bumiputera (VDP) oleh rangkaian anak syarikatnya, termasuklah PLUS, UEM Edgenta, UEM Sunrise Bhd dan Cement Industries of Malaysia Bhd (CIMA).
Program VDP pula mengembangkan lagi keupayaan vendor yang terlibat, melengkapkan mereka dengan kemahiran teknikal yang diperlukan untuk bersaing dalam lanskap yang kian berubah dan meneroka peluang komersial lain di luar UEM Group.
Inisiatif berstruktur ini bukan sekadar penganugerahan kontrak semata-mata, bahkan ia juga menyediakan sokongan komprehensif dalam bidang pembangunan perniagaan, pengurusan kewangan dan pembinaan keupayaan teknikal.
Dengan mengadunkan strategi pemerkasaan Bumiputera ke dalam teras operasinya, UEM Group dan anak-anak syarikatnya percaya penyertaan ekonomi Bumiputera dapat diperkukuh dan membolehkan mereka bersaing secara lebih saksama.
Ini sekali gus meningkatkan status sosioekonomi golongan Bumiputera dan menterjemahkan dasar kebangsaan iaitu Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) kepada hasil komersial yang bernilai, tambah kenyataan itu.
-- BERNAMA