Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur pada Selasa, seiring prestasi niaga hadapan getah serantau dan peningkatan harga minyak mentah, kata seorang peniaga.
Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun diniagakan dalam julat terhad hari ini berikutan ketidaktentuan bekalan daripada pengeluar utama, Thailand, apabila pokok getah di negara itu menghampiri musim kemuncak di tengah-tengah hujan lebat yang menggangu aktiviti penorehan.
“Agensi meteorologi Thailand memberi amaran mengenai hujan lebat dan banjir kilat di selatan negara itu yang melibatkan lokasi utama ladang getah sepanjang minggu depan,” katanya kepada Bernama.
Harga minyak meningkat apabila rundingan bagi menyelesaikan konflik Amerika Syarikat-Israel berkaitan Iran dilihat lemah.
Sementara itu, reaksi Tehran terhadap cadangan Washington turut menunjukkan perbezaan ketara yang terus mencetuskan kebimbangan terhadap bekalan.
Ketika ini harga minyak mentah Brent meningkat 2.48 peratus kepada US$106.80 setong.
Beliau berkata kebimbangan ekonomi susulan konflik Asia Barat terus mempengaruhi sentimen pasaran.
“Bagaimanapun, penurunan selanjutnya dihadkan oleh optimisme terhadap rundingan perdagangan AS-China,” katanya.
Pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia (SMR) 20 susut 2.5 sen kepada 879.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal naik lima sen kepada 755.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA