JENAYAH & MAHKAMAH

Mahkamah Rayuan Kekal Ganti Rugi RM50,000 Kepada Ekspat Jerman

12/05/2026 08:23 PM

PUTRAJAYA, 12 Mei (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan yang mengarahkan sebuah syarikat pengedar kereta membayar ganti rugi sebanyak RM50,000 kepada seorang ekspatriat Jerman bagi kesulitan, kekecewaan dan rasa tidak selamat yang dialami susulan kerosakan berterusan kenderaan utiliti sukan (SUV) miliknya.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Azhahari Kamal Ramli, Datuk Ismail Brahim dan K. Muniandy membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Auto Lumina Sdn Bhd dengan kos sebanyak RM30,000.

Ho Yeeng Sern, antara peguam yang mewakili Karl-Anton Droxner, ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.

Beliau berkata Azhahari memutuskan bahawa tiada kekhilafan yang boleh dirayu dalam keputusan Mahkamah Tinggi berhubung perkara itu.

Sebelum ini, Droxner memfailkan saman di Mahkamah Sesyen Johor Bahru terhadap Auto Lumina menuntut bayaran balik sebanyak RM169,813.00 (termasuk faedah bank), iaitu jumlah harga pembelian kenderaan berkenaan.

Beliau mendakwa kenderaan itu mengalami kerosakan berterusan sejak ia mula dibeli pada tahun 2013 hingga 2018 dan sepanjang tempoh tersebut, SUV berkenaan telah dihantar untuk dibaiki berulang kali.

Droxner juga mendakwa beliau tidak dapat menggunakan sepenuhnya kenderaan itu sejak ia dibeli.

Pada 15 Nov 2022, Mahkamah Sesyen membenarkan tuntutannya berhubung kesulitan, kekecewaan dan rasa tidak selamat ketika menggunakan Ford Kuga 1.6 itu.

Bagaimanapun, Mahkamah Sesyen menolak tuntutan Droxner untuk mendapatkan semula wang bagi pembelian kenderaan itu namun membenarkan ganti rugi bagi kesulitan, kekecewaan dan rasa tidak selamat yang dialaminya ketika menggunakan SUV tersebut.

Pada 8 Nov 2023, Mahkamah Tinggi menolak rayuan Auto Lumina dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen dalam kes itu.

Pada prosiding hari ini, peguam Izaac Izzuddin Md Izhar dan Norsuryati Abd Karim mewakili Auto Lumina manakala Droxner diwakili Johanan A. Puthucheary dan Ho Yeeng Sern.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2556161