AM

666 Patung Putera Siddhartha Tarikan Utama Sambutan Hari Wesak Peringkat Selangor

11/05/2026 11:24 PM

SHAH ALAM, 11 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor menyasarkan untuk mencipta rekod kebangsaan dengan memasang 666 patung Putera Siddhartha sempena sambutan Hari Wesak peringkat negeri pada 6 Jun ini, sebagai usaha memupuk keharmonian masyarakat berbilang kaum serta memperdalam kefahaman terhadap budaya Buddha.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Bukan Islam Selangor Ng Sze Han berkata pemilihan jumlah patung tersebut melambangkan tarikh istimewa sambutan pada tahun ini yang jatuh pada 6 Jun 2026.

Bertemakan Bridging Through Digital, Cultivating Wisdom Together, sambutan tahun ini akan berlangsung selama tiga hari dari 5 hingga 7 Jun di Kuil Sugata Dharma Vihara, Jenjarom, Kuala Langat dan dijangka menarik 5,000 pengunjung.

“Selain ritual utama, festival ini menawarkan pelbagai aktiviti dan mesra keluarga termasuk upacara sesi pemberkatan dan bacaan mantera oleh sami Mahayana dan Theravada, penyalinan sutra dalam bahasa Cina dan Sanskrit serta aktiviti prayer wheel,” katanya dalam sidang media di Dewan Annex Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini hari ini.

Ng Sze Han yang juga Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri berkata program tahunan yang dianjurkan sejak 2009 itu bertujuan memupuk keharmonian masyarakat berbilang kaum serta selaras dengan kempen Tahun Melawat Selangor 2026 bagi mempromosikan pelancongan berasaskan budaya.

Beliau berkata majlis perasmian dijangka disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari pada 9 pagi, 6 Jun yang juga hari kemuncak.

“Selain upacara keagamaan, kami turut menyediakan bengkel kraf interaktif seperti cetakan blok kayu, pembuatan daun Bodhi, dan pembuatan beg kanvas bertemakan petikan Dharma. Satu lagi tarikan unik tahun ini ialah Pameran Setem Buddha oleh Galeri Setem Buddha Sedunia yang memaparkan kisah kehidupan Buddha melalui koleksi setem pos yang unik,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang David Cheong Kian Young berkata pelbagai aktiviti berorientasikan keluarga turut diatur bagi menarik pengunjung daripada semua peringkat umur.

“Ia direka untuk membawa masyarakat kembali kepada makna asas sambutan Wesak, iaitu  ‘Triple Celebration’ yang memperingati kelahiran, pencerahan dan Parinirvana Buddha, sekali gus meningkatkan pemahaman yang tepat dalam kalangan masyarakat terhadap ajaran tersebut,” katanya.

Beliau berkata perkhidmatan saringan kesihatan percuma, termasuk pemeriksaan ketumpatan tulang, kolesterol dan jisim otot, turut disediakan untuk masyarakat setempat.

Sambutan itu dianjurkan dengan kerjasama Majlis Perundingan Buddha Malaysia (MBCC) serta disokong oleh Persatuan Buddha Malaysia Cawangan Kuala Lumpur/Selangor dan Persatuan Buddha Maha Karuna.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2555768