AM

Calvin Khiu Terima Ijazah DBA Universiti HELP

12/05/2026 11:36 AM

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Pengasas dan Pengerusi OE EduGroup Datuk Dr Calvin Khiu Fu Siang semalam dianugerahkan ijazah doktor falsafah dalam bidang Pentadbiran Perniagaan (DBA).

OE EduGroup dalam kenyataan hari ini memaklumkan usahawan itu menerima ijazah berkenaan pada Majlis Konvokesyen ke-36 Universiti HELP, yang diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-40 universiti berkenaan.

Menerusi kenyataan itu, Khiu yang merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli keluarga atas sokongan berterusan, mengakui beliau bukan seorang yang gemar belajar suatu ketika dahulu namun pengalaman dalam pembelajaran praktikal selama bertahun-tahun telah mengubah pandangannya terhadap ilmu dan perkembangan diri.

“Akhirnya, saya menyedari bagaimana pembelajaran telah mengubah kehidupan saya berkali-kali. Saya benar-benar memahami betapa pentingnya ilmu kepada seseorang,” katanya sambil menambah usahawan yang tidak berusaha mempertingkat keupayaan diri akan ketinggalan.

Khiu juga berkata sepanjang pengajian dua tahun lepas, beliau memberi fokus kepada penyelidikan dan pembelajaran sebelum berjaya menamatkan pengajian DBA.

Khiu berkata menerusi pengajian itu, ia bukan sahaja membuka lebih banyak perspektif antarabangsa dan pemikiran pengurusan yang lebih sistematik malah turut menyedarkan beliau tentang kepentingan gabungan antara ilmu akademik serta pengalaman praktikal.

“Pada masa depan, saya mahu menggabungkan akademik dan praktikal untuk membawa OE EduGroup ke tahap yang lebih tinggi, serta menjadikan pembelajaran praktikal lebih sistematik kepada lebih ramai usahawan dan generasi muda,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap dapat membantu lebih ramai usahawan mengurangkan kesilapan dalam perniagaan, memperkukuh pemikiran strategik dan membina kemampuan jangka panjang melalui sistem pendidikan yang lebih tersusun.

Khiu juga berkata nilai sebenar pendidikan bukan sekadar pada sijil atau kelulusan akademik semata-mata sebaliknya bagaimana ia mengubah cara berfikir, perspektif dan hala tuju kehidupan seseorang.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2555720