EKONOMI

Ar-Rahnu Pos Malaysia Dapat Fasiliti Pembiayaan RM100 Juta Maybank Islamic

11/05/2026 08:13 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Pos Malaysia Bhd, Pos Ar-Rahnu telah memperoleh fasiliti kredit-i pusingan jangka pendek sehingga RM100 juta daripada Maybank Islamic Bhd.

Pos Malaysia melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata kemudahan itu bertujuan untuk pendanaan umum korporat dan dalaman kumpulan.

“Pos Malaysia akan melaksanakan jaminan korporat sebanyak RM100 juta yang memihak kepada Maybank Islamic Bhd berhubung fasiliti tersebut.

“Fasiliti itu mengandungi syarat, termasuk mengekalkan Pos Ar-Rahnu sebagai anak syarikat Pos Malaysia sepanjang tempoh pembiayaan serta sekatan ke atas pembayaran dividen atau pendahuluan tanpa kebenaran terlebih dahulu daripada pembiaya. Tahap agregat fasiliti yang terjejas oleh syarat ini ialah RM100.0 juta,” katanya.

Fasiliti itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan ketara ke atas pendapatan sesaham, aset bersih sesaham, modal saham dan pegangan saham pemegang saham yang besar syarikat berkenaan untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2026.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2555717