KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Malaysia mahu pengeluar peralatan tulen (OEM) bekerjasama dengan vendor tempatan untuk meningkatkan keseluruhan rantaian bekalan dan ekosistem menerusi dasar kenderaan elektrik (EV) baharu, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin.
Beliau berkata ramai yang berpendapat bahawa kerajaan hanya mahu melindungi syarikat tempatan seperti pengeluar kereta, tetapi sebenarnya ia mempunyai objektif yang lebih besar, iaitu memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem.
“Kami mahu pengeluar kereta asing membangunkan ekosistem kita. Kita mempunyai 150 hingga 180 vendor Tahap 1 dan 640 pengeluar komponen serta alat ganti Tahap 2 dan 3.
“Kami mahu pengeluar asing bekerjasama dengan mereka untuk mengukuhkan keupayaan mereka, meningkatkan rantaian nilai dan menyediakan mereka untuk menjadi pengeksport komponen serta alat ganti,” katanya kepada pemberita pada Persidangan Automotif dan Mobiliti ASEAN Kedua PwC di sini hari ini.
Katanya, ekosistem itu tidak terhad kepada Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dan Proton Holdings Bhd sahaja, tetapi ia juga bertujuan memenuhi keperluan pelbagai jenama automotif lain, termasuk syarikat Eropah, Jepun dan China.
“Selain itu, kita mempunyai peluang yang besar dalam semikonduktor yang (ramai) orang tidak nampak.
“Model lama bagi enjin pembakaran dalaman (ICE) mempunyai cip semikonduktor yang sangat sedikit, tetapi EV, bateri EV dan EV hibrid pasang masuk serta kereta autonomi masa depan mempunyai ribuan cip.
“Disinilah Malaysia mempunyai peluang terbesar dalam ASEAN, kerana kita mempunyai (aktiviti) huluan hingga hiliran, kita mempunyai reka bentuk litar bersepadu (IC), kita mempunyai fabrikasi, kita mempunyai pemasangan serta pengujian.
“Kami berharap kita mempunyai keseluruhan rantaian bekalan untuk kereta dan cip IC,” katanya.
Sebelum ini, pada 6 Mei, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata bermula 1 Julai 2026, semua EV binaan lengkap yang diimport sepenuhnya (CBU) tertakluk kepada dua syarat utama, termasuk keluaran kuasa motor minimum baharu sebanyak 180 kilowatt (kW).
Menurut MITI, keperluan nilai minimum kos, insurans dan tambang (CIF) sebanyak RM200,000 juga akan dikenakan ke atas EV CBU yang diimport.
Dalam pada itu, Sim berkata Malaysia menyasarkan keupayaan pemanduan autonomi Tahap 3 menjelang 2030 dengan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) bersedia untuk memulakan kerja asas inisiatif tersebut.
“Saya rasa kita masih di peringkat awal. Malaysia belum memulakan perbincangan mengenai pemanduan autonomi. Saya akan menggesa pihak industri untuk mengkaji perkara ini kerana pemanduan autonomi melibatkan pelbagai perubahan,” katanya.
Beliau berkata di Amerika Syarikat, pemanduan autonomi itu berkembang dengan pantas daripada (ia diperkenalkan) empat bandar tahun lepas kepada 40 bandar tahun ini, dengan 60 bandar lagi dijangkakan pada tahun depan.
“Ia berkembang pada kelajuan eksponen, dan sama ada suka atau tidak, pemanduan autonomi akan datang ke Malaysia tidak lama lagi, dan kita semua mesti bersedia.
“Industri kita mesti bersedia untuk menjadi sebahagian daripada sektor yang sangat penting ini. (Pemain industri) mesti bersedia untuk meningkatkan kemahiran mereka supaya mereka boleh menjadi pembekal sensor, pembekal cip, pembekal perisian dan sebagainya,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya pada persidangan itu, beliau berkata sistem terhubung, keupayaan autonomi, model mobiliti kongsi dan elektrifikasi (CASE) sedang mengubah asas mobiliti.
Beliau berkata kenderaan hari ini bukan lagi sekadar mesin yang membawa manusia dari satu tempat ke tempat lain, tetapi ia menjadi platform pintar yang ditakrifkan perisian dan berkomunikasi dalam masa nyata, bergantung pada sensor canggih serta kecerdasan buatan, dan semakin disepadukan ke dalam ekosistem digital yang lebih meluas.
Oleh itu, Sim menggesa pemain industri untuk berfikir bagi tempoh jangka panjang dan membuat persiapan lebih awal untuk pemanduan autonomi.
“Saya percaya bahawa masa depan mobiliti yang sebenar ialah pemanduan autonomi. Saya ingin mencabar peneraju industri kita hari ini. Jangan hanya merancang untuk tahun depan. Rancang untuk dekad akan datang.
“Jika kita hanya memberi tumpuan kepada ‘hari ini’, kita akan sentiasa mengejar orang lain. Tetapi jika mula membina asas bagi teknologi autonomi sekarang, Malaysia akan menjadi peneraju di rantau ini,” tambahnya.
-- BERNAMA