KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Bekas pembantu khas Ahli Parlimen Seputeh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menipu Teresa Kok Suh Kim serta menerima suapan RM500,000 berhubung perolehan papan pintar, dua tahun lepas.
Edmund Teoh Kheng Yaik, 40, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.
“Faham pertuduhan, tidak mengaku bersalah,” katanya yang berada di kandang tertuduh dengan memakai kemeja berwarna putih.
Mengikut pertuduhan pertama, Teoh didakwa memperdayakan Kok, 62, sehingga mendorong Ahli Parlimen itu mempercayai bahawa hanya dua sekolah di parlimen berkenaan memohon sumbangan papan pintar interaktif sedangkan tertuduh tahu bahawa sebenarnya terdapat 16 sekolah yang memohon.
Tindakan tertuduh itu didakwa telah mendorong Kok memberikan persetujuan bagi permohonan sumbangan melalui sistem My-Khas di bawah Projek Mesra Rakyat Parlimen Seputeh, iaitu beliau tidak akan memberikan persetujuan itu sekiranya tidak diperdayakan.
Teoh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Seputeh di Sri Desa Entrepreneurs Park, Jalan 1/116B, Off Jalan Kuchai Lama di sini, pada Jun 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Teoh didakwa menerima suapan wang tunai RM500,000 daripada seorang lelaki berusia 37 tahun di kawasan tempat letak kereta sebuah stesen minyak di Jalan Kuchai Maju, Kuchai Lama di sini, pada 12 Ogos 2024.
Suapan itu sebagai upah kerana membantu lelaki berkenaan mendapatkan sumbangan bagi pembekalan papan pintar interaktif serta peralatan berkaitan untuk 16 sekolah di parlimen tersebut daripada syarikat TMT IT Solutions milik isteri lelaki berkenaan.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin menawarkan jaminan RM150,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Selain itu, tertuduh dikehendaki melapor diri di pejabat SPRM berhampiran kediamannya sebulan sekali dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan sama ada secara langsung atau melalui pihak ketiga.
Bagaimanapun, peguam M.N. Lo yang mewakili Teoh memohon jumlah jaminan lebih rendah atas alasan anak guamnya kini bekerja dengan sebuah syarikat p-hailing dan pendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan selain menanggung seorang anak yang masih bersekolah.
"Anak guam saya telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan dan telah melaporkan diri di pejabat SPRM sebanyak lapan kali tanpa gagal, oleh itu tiada potensi untuk dia melarikan diri.
"Tujuan wang jaminan adalah untuk memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah dan penjamin iaitu rakan tertuduh hadir hari ini serta telah menyediakan wang jaminan berjumlah RM30,000," kata peguam itu.
Hakim Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan 3 Julai ini untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA