GAYA HIDUP

Shila Amzah Sulam Emosi 25 Tahun Perjalanan Seni Dalam Konsert Penuh Makna

11/05/2026 09:59 AM

Oleh Wartawan Bernama Lifestyle

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Setelah sekian lama menanti untuk menyaksikan kemunculan Shila Amzah dalam konsert solo berskala besar di tanah air, penyanyi itu akhirnya kembali memukau pentas Malaysia menerusi persembahan istimewanya bersempena dengan 25 tahun perjalanan seni dalam industri hiburan. 

Mengubati kerinduan peminat setianya yang inginkan "hadiah" terbaharu daripadanya selepas kali terakhir mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada 2023 memandangkan jadual seninya yang lebih padat di China, penyanyi itu bagaimanapun tetap memilih Malaysia untuk meraikan detik penting karier seninya.

Berlangsung di pentas paling berprestij, Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada malam Sabtu, konsert Resonance: Shila Amzah in Harmony-25 Years of Music & Memories bukan sekadar persembahan muzik biasa sebaliknya lebih daripada itu dengan membawa peminat untuk mengenali lebih intim insan seni ini. 

pic-2

Tidak mahu mensia-siakan peluang pertama kali beraksi di DFP yang menjadi impian ramai penyanyi, Shila yang memulakan persembahan tepat pada 8.20 malam, menyifatkan konsert itu sebagai gambaran perjalanan hidupnya yang penuh dengan momen nostalgik akan kesedihan, jatuh dan kebangkitan semula.

“25 tahun dalam bidang muzik jika difikirkan balik, sebenarnya masih banyak sangat yang saya mahu ceritakan. Ada masa kita bahagia, ada masa yang saya rasa perlu minta maaf pada diri sendiri sebab lama bertahan.

“Adakala pula saya rasa dejavu, sebab cerita dan luka sama terjadi tetapi ada satu perkara saya cukup percaya di mana setiap jatuh itu bukan penamat tetapi itu cara Tuhan didik kita jadi lebih kuat,” katanya ketika konsert itu.

pic-3

Tampil anggun dalam  sut hitam, Shila Amzah atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Hamzah, 36, turut berkongsi dengan peminat bahawa album terbaharunya berjudul SA25 menjadi simbolik perjalanan seninya sejak mula menceburi industri hiburan pada usia sembilan tahun hingga kini.

Tidak mahu terlalu lama berbicara kerana memahami peminat hadir untuk menikmati persembahannya, anak kepada penyanyi dan pelakon terkenal era 1980-an ND Lala itu kemudiannya meneruskan konsert dengan rangkaian lagu popular yang pernah mewarnai perjalanan karier seninya.

Istimewanya, Naib Juara One in a Million itu bukan sahaja mengubat kerinduan peminat menerusi lagu-lagu balada yang sinonim dengan kekuatan vokalnya bahkan turut memukau penonton dengan beberapa lagu Mandarin yang pernah melonjakkan namanya di China.

pic-4

Bagaikan sebuah keluarga besar malam itu, dewan berprestij itu menariknya tidak hanya dibanjiri peminatnya dalam kalangan Melayu daripada pelbagai peringkat umur akan tetapi juga, berbagai bangsa turut tidak terkecuali termasuklah penyokong setianya dari China.  

Keharmonian malam itu jelas dirasai apabila peminat daripada pelbagai bangsa tidak mahu melepaskan peluang untuk menyanyi bersama-sama ibu kepada dua orang anak ini yang terkenal dengan vokal emas, lantang serta kekuatannya dalam mengalunkan lagu-lagu bergenre balada.

Kegalauan peminat yang hanyut melayan rangkaian lagu dendangan Shila, tercuit seketika apabila suara anak sulungnya, Seth Uwais Haris Idraki kedengaran menjerit “Mama!” ketika penyanyi itu sedang berinteraksi di atas pentas, sekali gus membuatkannya ketawa sebelum menyahut panggilan anaknya itu.

pic-5

Menyanyikan lebih 20 lagu termasuk berberapa segmen medley sepanjang lebih dua jam beraksi, kehebatan vokal Juara Asian Wave 2012 itu sememangnya tidak dapat dipertikaikan apabila lenggok suara dan kawalan nadanya kekal mantap tanpa bantuan penyanyi latar.

Bagaikan tidak lengkap, konsert yang begitu bermakna buat isteri kepada pempengaruh media sosial, Ubai Mz turut diserikan dengan kemunculan istimewa Jaclyn Victor menerusi lagu Sahabat.

“Terima kasih kerana hadir untuk kawan saya ini. Saya rasa sangat istimewa sebab selepas begitu lama dalam industri, dia pilih saya untuk menyanyi bersama-sama,” katanya yang turut berduet lagu hit 3 Suara iaitu Beribu Sesalan.

Menutup persembahan, Shila menyifatkan 25 tahun perjalanan seninya bukan hanya tentang dirinya semata-mata akan tetapi juga akan peminatnya yang terus setia menyokongnya dan antara lagu disajikan pada malam itu ialah Patah Seribu, Masih Aku Cinta, Dao Shi Shuo Ai Wo, Forever Love dan Sirna Hati.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2555354