GAYA HIDUP

Kerjaya Bomba Tetap Dalam Hati Saya - Syafiq Farhain

11/05/2026 09:26 AM

Oleh Hasnah Jusid

JOHOR BAHRU, 11 Mei (Bernama) -- Meski namanya semakin meningkat naik dan mengukuh dalam dunia hiburan tanah air, Syafiq Farhain bertekad untuk tidak meninggalkan kerjaya hakikinya sebagai anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Anak kepada bekas vokalis kumpulan Iklim, Allahyarham Saleem ini berkata perkara itu tidak pernah terlintas di  fikirannya, kerana baginya kerjaya dalam bidang tersebut yang mengizinkan beliau mencipta nama dalam dunia seni.

“Saya memang sayang kerjaya hakiki saya.  Melalui kerjaya ini juga saya mengasah bakat nyanyian melalui kombo bomba. Saya tak rasa saya akan menyanyi sekiranya saya tidak menjadi bomba,” katanya kepada Bernama.

Ditemui pada Karnival Hari Bomba Sedunia 2026 Peringkat Kebangsaan di sini, Syafiq atau nama sebenarnya  Nursyafiq Farhain A.M Salim, 32, berkata setakat ini beliau tiada masalah membahagikan masa antara tugas hakiki dan persembahan nyanyian.

pic-2

Pelantun lagu Kamar Hati ini berkata penempatan tugas di Bahagian Pengurusan Korporat Ibu Pejabat JBPM memerlukan beliau bekerja mengikut waktu pejabat, sekali gus membolehkannya  memenuhi undangan persembahan pada hujung minggu atau waktu malam.

Bapa kepada dua cahaya mata itu juga berkongsi perkembangan bahawa single terbaharunya akan dikeluarkan tidak lama lagi.

“Kalau kita tengok trend sekarang ramai artis yang keluarkan lagu-lagu galau. Namun saya belum sampai tahap itu lagi,” katanya.

Syafiq sebelum ini mengeluarkan beberapa single, antaranya Sayang Maafkan Aku, Sepi, Kau Bidadari,  Demi Setia dan Aku Jatuh Cinta. 

pic-3

Ditanya tentang suara-suara yang cuba membandingkan beliau dengan arwah ayahnya, Syafiq berkata beliau tidak kisah dengan perkara itu.

“Saya anak arwah. Di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi? Sedikit sebanyak mesti ada persamaan. Tapi, terpulang kepada telinga masing-masing. Setakat ini, setiap komen saya terima dengan positif,” katanya.

Beliau yang sudah 13 tahun berkhidmat dengan JBPM turut menzahirkan perasaan terharu atas sambutan ribuan orang ramai yang datang ke karnival berkenaan dengan ada yang mengambil peluang berswafoto dengan beliau. 

“Dengan kemeriahan sambutan karnival ini, sebagai anggota bomba kami dapat rasai sokongan masyarakat tempatan, rasa dihargai dan kepuasan itu ada,” katanya dan menambah, pameran aset dan jentera bomba antara yang menjadi tarikan orang ramai. 

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2555346