GAYA HIDUP

Kontraktor Beralih Bidang, Tanam Jambu Batu Raih Pendapatan Lebih Lumayan

11/05/2026 09:04 AM

Oleh Nur Afiradina Arshad

TAPAH, 11 Mei (Bernama) -- Beralih ke bidang pertanian pada usia 57 tahun selepas lebih tiga dekad bergiat dalam sektor pembinaan, merupakan langkah berani yang mungkin tidak ramai ingin mencuba.

Namun, Lee Lee Chong, 64, tidak berasa kesal dengan keputusan itu kerana, selepas hampir tujuh tahun bergelar usahawan tani beliau kini selesa dengan pendapatan yang diraih daripada jualan jambu batu “white pearl” sebanyak RM80,000 hingga RM100,000 sebulan.

“Dalam bidang kontraktor, kita terikat dengan perjanjian. Sama ada untung atau tidak, tetap kena teruskan. Jadi saya fikir pertanian mungkin lebih sesuai untuk kurangkan risiko hutang dan pusingan hasil juga lebih cepat,” katanya ketika ditemui di ladang yang diusahakan bersama-sama dengan tiga rakan, Erawish Agriculture Sdn Bhd, di sini baru-baru ini.

pic-2

Pun begitu, sepertimana petani lain, Lee juga berdepan beberapa kegagalan ketika di peringkat awal menceburi bidang itu. 

“Saya mengalami kerugian kira-kira RM60,000 apabila projek awal tanaman kelapa pandan musnah akibat serangan kumbang badak. Saya beralih ke tanaman betik, juga bertemu kegagalan kerana tanah tidak sesuai,” katanya mengimbau sejarah awal bergelar petani.

Menurutnya, beliau menanam jambu batu sebagai tanaman sampingan kepada nanas MD2, hasil saranan kenalan dari Taiwan, memandangkan “white pearl” mempunyai beberapa kelebihan berbanding jambu batu lain, antaranya isi putih dengan tekstur lebih rangup, kurang biji serta rasa manis semula jadi.

pic-3

“Kini kami mempunyai kira-kira 5,000 batang pokok jambu batu pelbagai jenis dengan satu pokok mampu menghasilkan sekitar 100 hingga 150 biji buah bergantung pada keadaan pokok dan musim menuai,” katanya, menambah pada masa ini mereka mampu memetik sekitar 10 tan buah seminggu yang dipasarkan secara terus kepada pelanggan.

Lee berkata hasil jualan jambu batu itu yang dipasarkan sebagai buah premium, dapat menampung pendapatan mereka sementara menunggu tuaian nanas MD2.

“Kami mengusahakan ladang nanas dan jambu batu ini di atas tanah seluas 40.47 hektar dan menerima sokongan serta galakan daripada agensi kerajaan seperti Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC),” kata anak jati Bercham ini.  

pic-4

Menurutnya, mereka juga menerima ​​pembiayaan tanpa faedah sebanyak RM100,000 daripada SADC bagi memperkukuh hasil tanaman serta RM250,000 daripada LPNM untuk pelaksanaan night farming.

“Selain buah, ladang ini juga menjadi pembekal benih nanas kepada LPNM dengan kira-kira 15,000 benih dihasilkan setiap bulan mengikut keperluan semasa industri,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2555339