PASARAN

Bursa Malaysia Catat Penurunan Pada Tengah Hari

08/05/2026 02:49 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia mengekalkan momentum penurunan pada tengah hari ini, sejajar dengan prestasi pasaran serantau yang lemah apabila sentimen terjejas oleh perkembangan baharu berkaitan konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran.

Dilaporkan bahawa AS dan Iran berbalas tembakan di Selat Hormuz pada Khamis walaupun Presiden AS Donald Trump menyatakan bahawa gencatan senjata terus berkuat kuasa.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menurun 7.01 mata atau 0.40 peratus kepada 1,751.84 daripada 1,758.85 semasa ditutup pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran yang dibuka rendah 0.78 mata kepada 1,758.07, bergerak antara 1,749.82 dan 1,760.19 sepanjang sesi dagangan pagi.

Pasaran secara menyeluruh negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 699 berbanding 356 manakala 486 kaunter tidak berubah, 1,111 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.93 bilion unit bernilai RM1.36 bilion.

Menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) dalam nota penyelidikan hari ini, bursa tempatan seiring dengan sesi Wall Street semalaman yang tidak menentu manakala minyak mentah Brent meningkat semula melebihi US$100 setong.

“Oleh itu, FBM KLCI dijangka kekal tidak menentu dan dipacu oleh berita utama, terutamanya mengenai perkembangan konflik AS-Iran dan potensi usaha diplomatik untuk membuka semula Selat Hormuz.

“Sentimen dijangka kekal berhati-hati berikutan pertempuran baharu antara AS dan Iran, selain Washington masih menunggu respons Tehran terhadap cadangan yang bertujuan mengurangkan ketegangan dan memulihkan aliran perkapalan melalui Selat Hormuz,” menurutnya.

Walaupun terdapat turun naik dalam tempoh jangka pendek, KLCI telah mengekalkan aliran meningkat yang kukuh, disokong oleh jangkaan pendapatan suku pertama 2026 yang positif meliputi bank, utiliti, tenaga dan penjagaan kesihatan selain kecairan domestik yang mampan dan senario makro yang membina.

Menurut bank itu, status Malaysia sebagai pengeksport tenaga bersih juga menawarkan daya tahan terhadap harga minyak yang tinggi berbanding negara serantau lain.

“Pada masa depan, tumpuan pasaran akan beralih kepada panduan pendapatan dan petunjuk makroekonomi apabila pelabur mengimbangi asas yang berdaya tahan terhadap risiko geopolitik yang meningkat, kos tenaga yang tinggi, tekanan rantaian bekalan dan potensi cabaran pertumbuhan,” katanya.

Dari aspek teknikal, paras sokongan utama dijangka pada 1,710 hingga 1,730 manakala paras halangan pada 1,771 hingga 1,789, menurut HLIB. 

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional, masing-masing menurun enam sen kepada RM11.20 dan RM14.74. 

Public Bank berkurangan tiga sen kepada RM4.86, CIMB Group merosot lima sen kepada RM7.99 dan IHH Healthcare meningkat satu sen kepada RM8.89. 

Bagi kaunter paling aktif, Top Glove menambah 1.5 sen kepada 7.5 sen, Inspace Creation yang mula disenaraikan di Pasaran ACE meningkat satu sen kepada 26 sen, Hartalega naik enam sen kepada RM1.24 dan Tanco menokok dua sen kepada RM1.67.

Dalam kalangan kaunter paling untung, Hong Leong Industries melonjak RM1.14 kepada RM19.34, Petronas Dagangan meningkat 20 sen kepada RM20.76, Pentamaster Corp naik 18 sen kepada RM4.56 dan TIME dotcom menokok 16 sen kepada RM6.30. 

Kaunter paling rugi ialah Nestle (M) merosot RM2.20 kepada RM101.90, UMS Integration Ltd menurun 29 sen kepada RM7.08, Batu Kawan berkurangan 26 sen kepada RM21.14 dan Kuala Lumpur Kepong menyusut 24 sen kepada RM21.06.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menurun 41.95 mata kepada 12,938.78, Indeks FBM Top 100 berkurangan 43.26 mata kepada 12,783.48, Indeks FBM Emas Shariah merosot 21.35 mata kepada 12,841.78, Indeks FBM Mid 70 menyusut 28.34 mata kepada 18,428.75 dan Indeks FBM ACE menurun 58.42 mata kepada 4,607.32.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 87.30 mata kepada 20,386.13, Indeks Tenaga menurun 1.97 mata kepada 809.89 dan Indeks Perladangan berkurangan 73.28 mata kepada 8,864.49 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.73 mata kepada 195.15.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2554455