JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita Tertekan Pedal Minyak, Kereta Rempuh Kedai Dobi

08/05/2026 10:32 AM

KOTA BHARU, 8 Mei (Bernama) -- Tindakan seorang wanita yang dipercayai secara tidak sengaja tertekan pedal minyak ketika membuat pusingan-U menyebabkan kereta yang dipandunya merempuh sebuah premis dobi di Pasar Besar Wakaf Bharu, Tumpat, semalam.

Ketua Polis Daerah Tumpat ACP Mohd Khairi Shafie berkata kejadian yang berlaku kira-kira 11.20 pagi itu melibatkan sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu wanita tempatan berusia lingkungan 50-an.

Beliau berkata siasatan awal mendapati wanita itu memandu dari arah Jalan Puteri Saadong menuju ke premis dobi berkenaan sebelum membuat pusingan-U di lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, pemandu terbabit dipercayai secara tidak sengaja tertekan pedal minyak menyebabkan kenderaan dipandunya meluru lalu merempuh pintu kaca bahagian hadapan premis dobi tersebut.

“Akibat kejadian itu, pintu kaca premis pecah namun tiada kecederaan dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.  

Mohd Khairi berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira 12.40 tengah hari daripada pemilik premis dobi berusia 32 tahun.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Peraturan 10, Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di talian 09-7257222 bagi membantu siasatan.  

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2554329