AM

Warga Emas Maut Dihempap Jentera Pembajak

06/05/2026 09:50 PM

KUALA BERANG, 6 Mei (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas maut selepas tercampak keluar sebelum dihempap jentera pembajak yang dipandunya sendiri, dalam kejadian di Kilometer 11 Jalan Paya Besar-Pengkalan Ajal di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Supt Sharudin Abdul Wahab berkata dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu, mangsa berusia 71 tahun dalam perjalanan dari Pejabat Felda Tersat menuju ke Pengkalan Ajal.

Beliau berkata ketika sampai di lokasi kejadian jentera pembajak yang dipandunya terbabas akibat hujan lebat sebelum terjatuh ke bawah tebing sebelah kiri lalu menghempap mangsa.

"Mangsa dikenali Mansor Mamat bekerja sebagai pengusaha ladang sawit berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dengan menggunakan jengkaut.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat," katanya.

Sharudin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.            

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2553755