KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Malaysia sedang berusaha untuk beralih daripada menjadi peneraju dalam pemasangan, pengujian dan pembungkusan (ATP) kepada peneraju dalam pembungkusan termaju seiring kecerdasan buatan (AI) yang membentuk semula industri semikonduktor global.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pembungkusan termaju yang disokong oleh seni bina chiplet dan integrasi heterogen semakin menjadi teras kepada penskalaan pengkomputeran AI.
Ini sekali gus meletakkan negara secara langsung dalam fasa pertumbuhan industri seterusnya, katanya.
Beliau berkata ekosistem semikonduktor sedia ada di Malaysia yang terletak di Pulau Pinang, Kulim dan Lembah Klang dan kini menempatkan lebih 50 syarikat semikonduktor multinasional menyediakan laluan terus bagi negara untuk beralih kepada pembuatan generasi seterusnya.
“Infrastruktur sedia ada meletakkan kami secara langsung dalam laluan peralihan ini dan kami berhasrat untuk melabur dengan sewajarnya,” kata beliau dalam ucapan perasmian pada Forum Tinjauan Pasaran dan Industri yang diadakan pada 6 Mei sempena SEMICON Asia Tenggara 2026 di sini.
Sikh Shamsul Ibrahim berkata industri semikonduktor global kini menghampiri paras satu trilion dolar dengan perolehan dijangka meningkat daripada kira-kira US$790 bilion pada 2025 kepada unjuran US$975 bilion pada 2026.
Beliau menyatakan semikonduktor berubah daripada input industri yang bersifat kitaran kepada infrastruktur strategik yang kini dibincangkan seiring dengan keterjaminan tenaga dan keterjaminan makanan.
AI kekal menjadi pemacu tunggal terbesar bagi perkembangan industri dengan pemecut AI, memori jalur lebar tinggi dan pusat data yang mengoperasikannya dijangka menyumbang kepada sebahagian besar pertumbuhan semikonduktor sehingga akhir dekad ini, tambahnya.
Sikh Shamsul Ibrahim turut menekankan kedudukan strategik Asia Tenggara yang berada di landasan tepat untuk menguasai 25 peratus daripada kapasiti ATP global menjelang 2032.
.Pada masa yang sama, beliau menyifatkan kitaran semikonduktor semasa sebagai "bukan kitaran biasa" sambil menyatakan bahawa pemulihan pada 2025 dipacu terutamanya oleh permintaan berkaitan AI dan kenaikan harga.
“Pelabur yang membina kapasiti semasa fasa pembetulan pasaran yang lepas merupakan mereka yang berada pada kedudukan terbaik hari ini. Pendirian dasar Malaysia adalah untuk menyokong firma yang bersedia mengambil pandangan jangka panjang tersebut,” kata beliau.
Sikh Shamsul Ibrahim mengakui sebahagian besar asas semikonduktor Malaysia masih tertumpu dalam segmen industri yang lebih tradisional apabila pertumbuhannya dijangka lebih sederhana berbanding teknologi termaju berkaitan AI.
“Tanpa pergerakan yang lebih pantas dalam rantaian nilai, pertumbuhan hasil kita akan ketinggalan berbanding pasaran yang lebih luas,” kata beliau.
Beliau menekankan Malaysia mencatatkan pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak RM426.7 bilion pada 2025 termasuk RM131.3 bilion dalam sektor pembuatan serta RM28.5 bilion dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).
Dalam pada itu, 2026 Global Opportunity Index oleh Institut Milken meletakkan negara ini sebagai destinasi pelaburan utama di Asia Tenggara.
Bagi memperkukuh kedudukan Malaysia, beliau berkata Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) menyasarkan untuk melatih 60,000 jurutera berkemahiran tinggi selain memantapkan sekurang-kurangnya 10 syarikat Malaysia berskala serantau atau global dalam bidang reka bentuk dan pembungkusan termaju.
Selain itu, NSS juga menyasarkan untuk meningkatkan penguasaan pasaran semikonduktor global Malaysia kepada 14 peratus menjelang 2029.
Beliau berkata strategi tersebut juga memberi tumpuan kepada usaha membina kepakaran yang lebih mendalam dalam reka bentuk litar bersepadu (IC) dan semikonduktor tenaga yang disokong oleh taman reka bentuk sokongan kerajaan di Selangor dan Pulau Pinang, akses bersubsidi kepada alatan reka bentuk serta kerjasama industri.
Beliau turut menyebut kemudahan fasiliti Infineon di Kulim, Kedah yang menyasarkan penguasaan yang besar dalam pasaran tenaga silikon karbida global menjelang akhir dekad ini sebagai hab utama dalam rantaian bekalan elektrifikasi automotif.
Sikh Shamsul Ibrahim berkata Rangka Kerja Insentif Baharu akan menyediakan sokongan yang lebih bersasar dan berasaskan hasil bagi pelaburan yang mewujudkan pekerjaan berkemahiran, memperkukuh hubungan rantaian bekalan tempatan serta menyumbang kepada pembangunan struktur ekonomi yang lebih kompleks dalam jangka panjang.
Bagi sektor semikonduktor, beliau berkata rangka kerja itu merangkumi sokongan khusus untuk pembungkusan termaju, reka bentuk IC, proses peringkat wafer dan pembuatan peralatan.
Sementara itu, beliau berkata Malaysia sedang memperkukuh ekosistem pembekal domestik melalui program pembangunan pembekal yang berstruktur termasuk Program Pembangunan Vendor Infineon bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan meningkatkan keupayaan dan menyertai rantaian bekalan global.
“Kami mahu syarikat Malaysia menjadi lebih daripada sekadar vendor. Kami mahu mereka menjadi rakan kerjasama dalam reka bentuk dan penyampaian teknologi yang akan menjadi sandaran industri ini bagi dekad yang akan datang,” tambah beliau.
Sikh Shamsul Ibrahim berkata perkembangan geopolitik termasuk kawalan eksport, rejim tarif dan semakan pelaburan dijangka terus membentuk industri semikonduktor dalam tempoh dekad akan datang apabila syarikat-syarikat membina lebih fleksibiliti dalam rantaian bekalan mereka.
Beliau menambah tenaga juga menjadi faktor yang semakin penting dalam keputusan pelaburan semikonduktor memandangkan pusat data yang dioptimumkan untuk AI dan pembuatan semikonduktor memacu permintaan elektrik yang lebih tinggi secara global.
“Akses kepada tenaga yang stabil, berharga kompetitif dan semakin hijau kini menjadi penentu utama dalam pemilihan lokasi.
“Perjanjian pembelian tenaga solar jangka panjang STMicroelectronics di Johor dan pengembangan Sarawak di Sama Jaya merupakan petunjuk utama. Bersama-sama dengan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), ia memperluas lagi jejak semikonduktor Malaysia,” kata beliau.
-- BERNAMA