MELAKA, 7 Mei (Bernama) -- Tiga lelaki warga China didenda RM5,000 manakala seorang lagi dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku mencuri beg duit mengandungi RM7,000 milik seorang lelaki di sebuah premis di Jonker Street, bulan lepas.
Majistret Uthman Abd Ghani membuat keputusan itu apabila Qing Xiaomin, 54, Yan Chaoyang, 63, Lu Yongde, 60, Dong Huangbing, 62, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Coconut Shake Store Jonker Street pada 10.25 pagi 25 April lepas mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, peguam Mona Anak Leonard Lubon yang mewakili kesemua tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan berbentuk denda minimum ke atas Qing, Yan serta Lu, dan tempoh penjara singkat terhadap Dong, yang turut berdepan pertuduhan tinggal lebih masa di Malaysia, atas alasan anaknya guamnya adalah warga emas.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Syauqi Mardia Baharudin memohon hukuman setimpal kerana perbuatan kesemua tertuduh memberi kesan terhadap kepentingan awam dan mereka dipercayai melakukan kesalahan itu secara terancang.
Di mahkamah sama, Dong dan seorang lagi rakan senegaranya, Li Gang, 62, dijatuhi hukuman penjara empat bulan selepas mengaku tinggal melebihi masa yang dibenarkan di Malaysia tanpa sebab munasabah.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di tepi Jalan Banda Kaba, Melaka Tengah pada 3.50 petang 30 April lepas mengikut Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Mengikut pertuduhan, Li didakwa tinggal di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan, iaitu selama lima bulan selepas pas lawatan sosialnya tamat pada 19 Nov 2025.
Pas lawatan sosial Dong pula tamat pada 6 Mac 2025 dan dia didakwa tinggal di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan, iaitu selama 13 bulan.
-- BERNAMA