KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Kerajaan sedang meneliti cadangan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan penjagaan ibu bapa bagi memastikan tanggungjawab sosial terhadap golongan berkenaan tidak diabaikan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beberapa negara telah melaksanakan undang-undang berkaitan tanggungjawab anak terhadap ibu bapa, namun Malaysia masih pada peringkat kajian.
“Saya telah meminta kementerian (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) mengemukakan kertas cadangan mengenai pembentukan akta itu dalam tempoh enam bulan dari sekarang, dan ia mesti dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk mendapat kelulusan dasar.
“Cadangan itu penting bagi memastikan nilai kekeluargaan, agama dan ketimuran terus dipelihara seiring kemajuan negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara (PTDSN) 2026-2030, di sini hari ini.
Beliau berkata semua bangsa dan agama perlu memberikan penekanan terhadap penjagaan ibu bapa walaupun pendekatannya mungkin berbeza antara negara kerana Malaysia mempunyai nilai tersendiri.
“Kerajaan juga memandang serius isu pengabaian warga emas termasuk tindakan menghantar ibu bapa ke rumah jagaan tanpa dipedulikan, yang merupakan satu bentuk pelepasan tanggungjawab yang tidak dialu-alukan.
“Kita perlu mempelajari pengalaman beberapa negara yang telah melaksanakan undang-undang berkenaan. Bagi negara yang belum melaksanakannya pula, kita percaya mereka juga akan mengambil pendekatan sama sekiranya situasi di negara berkenaan memerlukan,” katanya.
DSN 2030 yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) ialah rangka kerja komprehensif untuk membentuk masyarakat Malaysia yang inklusif, progresif, dan berdaya tahan.
Dasar berkenaan bertujuan meningkatkan kebajikan rakyat, menangani cabaran sosial, dan menjamin hak serta kesejahteraan hidup setiap individu, selaras dengan matlamat Malaysia MADANI.
-- BERNAMA