TUMPAT, 6 Mei (Bernama) -- Ketika kebanyakan sekolah memberikan tumpuan kepada pembelajaran di dalam bilik darjah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Berangan di sini memilih pendekatan berbeza apabila menjadikan penternakan lebah kelulut sebagai medium pendidikan yang mampu membentuk kemahiran, disiplin dan minat pelajar terhadap alam semula jadi.
Inisiatif yang dilaksanakan sejak tahun lepas itu bukan sahaja memberikan pengalaman secara langsung kepada pelajar mengendalikan sarang kelulut dan memahami proses penghasilan madu, tetapi juga memberikan impak positif terhadap kehadiran mereka ke sekolah.
Guru Geografi di sekolah berkenaan Mohd Rosli Yaakub berkata projek itu bermula pada 2024 dengan hanya empat sarang kelulut melibatkan pelajar tingkatan empat dan berjaya menghasilkan dua kilogram madu pada tahun pertama pelaksanaannya.
“Melihat kepada hasil yang memberangsangkan, jumlah sarang kini bertambah kepada 17 dan mampu menghasilkan lapan kilogram madu kelulut pada tahun ini,” katanya kepada pemberita di Laman Lestari Kelulut SMK Berangan di sini, hari ini.
Beliau berkata projek berkenaan memberikan peluang kepada pelajar mengendalikan sendiri sarang kelulut serta memahami kepentingan sains dan kelestarian alam sekitar melalui pembelajaran secara praktikal.
“Penjagaan lebah kelulut tidak rumit kerana serangga itu tidak mempunyai sengat dan hanya memerlukan sumber pokok berbunga untuk menghasilkan madu yang berkualiti,” katanya.
Mohd Rosli yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam penternakan lebah kelulut berkata setakat ini, terdapat lima spesies kelulut diternak di sekolah tersebut antaranya Lepidotrigona Terminata, Heterotrigona Itama, Geniotrigona Thoracica, dan Tetragonula Leviceps.
Sementara itu, Pengetua SMK Berangan Kamarul Zaman Hussin berkata projek berkenaan turut memberikan impak positif terhadap kehadiran pelajar ke sekolah apabila meningkat sebanyak empat peratus sejak Januari lepas.
Beliau berkata hal ini disebabkan projek itu berjaya menarik pelajar yang kurang berminat dalam pembelajaran untuk hadir ke sekolah dan mempelajari kemahiran penternakan kelulut.
“Malah, kita turut mengagihkan 250 gram madu kelulut ke setiap kelas melibatkan lebih 700 pelajar dan guru bagi memberikan peluang kepada mereka menikmati hasil penternakan ini,” katanya.
-- BERNAMA