JENAYAH & MAHKAMAH

Warga Ghana Direman Memandu Secara Bahaya Di Bawah Pengaruh Dadah

05/05/2026 03:47 PM

ALOR GAJAH, 5 Mei (Bernama) -- Seorang lelaki warga Ghana direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes kemalangan melibatkan dua kenderaan di KM 221.6 arah utara Lebuh Raya Utara–Selatan (PLUS), berhampiran Alor Gajah pada 3 Mac lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Alor Gajah Kamarul Aris Kamalluddin membenarkan perintah reman hingga 11 Mei ini terhadap lelaki berumur 32 tahun itu yang disyaki memandu kenderaan secara melulu dan di bawah pengaruh dadah.

Dalam kejadian pada 11.30 pagi, Honda City yang dipandu suspek dipercayai hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang sebuah Perodua Myvi yang dinaiki enam sekeluarga termasuk seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin.

Akibat perlanggaran itu, pemandu serta beberapa penumpang Perodua Myvi dan pemandu Honda City mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan sedang dalam perjalanan dari Melaka menghala ke Kuala Lumpur sebelum Honda City berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang Perodua Myvi yang berada di lorong tengah.

"Selepas kejadian, suspek tidak tampil membuat laporan dan dipercayai menghilangkan diri sebelum berjaya dikesan di sekitar Serdang.

"Suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Alor Gajah untuk tindakan lanjut," katanya dan menambah semakan juga mendapati suspek tidak mempunyai lesen memandu yang sah selain ujian saringan awal urin menunjukkan keputusan positif dadah.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2553039