KOTA BHARU, 5 Mei (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan penyeludupan 500,000 batang rokok dalam serbuan Ops Taring Alpha 1 di Kampung Pantai Sabak, di sini semalam.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata serbuan pada 9.30 malam itu menemukan dua kenderaan di tepi sungai serta beberapa lelaki sedang memunggah kotak ke dalam sebuah kenderaan.
“Suspek melarikan diri menggunakan perahu sebaik menyedari kehadiran polis, namun seorang lelaki tempatan berjaya ditahan di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan terhadap sebuah Proton Exora dan Nissan Grand Livina menemukan 50 kotak rokok seludup dianggar mengandungi 500,000 batang.
“Semakan mendapati kedua-dua kenderaan menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya.
Ahmad Radzi berkata siasatan awal mendapati suspek berperanan sebagai pemandu penghantaran dan mula terlibat sejak April lepas selepas ditawarkan kerja oleh seorang lelaki warga Thailand melalui WhatsApp.
“Suspek diarahkan mengambil kenderaan yang telah diisi rokok sebelum dihantar ke sekitar Tok Bali dengan bayaran RM300 bagi setiap penghantaran,” katanya.
Beliau berkata kenderaan berkenaan disewa oleh dalang daripada penduduk tempatan dan nombor pendaftaran sering ditukar bagi mengelak dikesan.
“Suspek juga tidak pernah bersemuka dengan dalang dan hanya menerima arahan melalui telefon serta WhatsApp. Nilai rampasan termasuk dua kenderaan dianggar RM960,000,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA