IPOH, 3 Mei (Bernama) -- Sebanyak 350 penerima pelbagai kaum daripada golongan berpendapatan rendah B40 di sini menerima bantuan makanan sumbangan sebuah syarikat pembekal makanan sejuk beku menerusi program dengan kerjasama Persatuan India Muslim Perak (PRIM).
Pengarah Urusan Ariff Frozen Food Fauziah Mohd Arib berkata program tahunan itu dilaksanakan sejak 2016 bertujuan membantu meringankan beban golongan memerlukan berikutan peningkatan kos sara hidup.
"Barangan yang diberikan termasuk beras, tepung, bihun, telur, sayur-sayuran selain ikan, makanan laut dan ayam (seekor) dengan nilai keseluruhan berjumlah RM150," katanya ketika ditemui pemberita pada program penyerahan bantuan makanan berkenaan di Jalan Tasek di sini hari ini.
Fauziah berkata pihaknya menyasarkan dapat menyumbang kepada kira-kira 500 penerima pada masa akan datang.
Sementara itu, seorang penerima Abdul Majid Kalaiselvan Abdullah, 70, dari Flat Ashby di sini berkata bantuan yang diterimanya sedikit sebanyak membantu mengurangkan kos perbelanjaan barangan keperluan asas.
"Alhamdulillah, bantuan makanan ini dapat menampung sedikit sebanyak bekalan makanan saya bersama isteri dan enam orang anak.
"Setiap bulan saya membelanjakan kira-kira RM300 untuk membeli barangan makanan asas dan basah," katanya yang kudung kedua-dua belah kaki akibat penyakit kencing manis.
-- BERNAMA