PUTRAJAYA, 2 Mei (Bernama) -- Bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli akan dipanggil bagi dirakam keterangan Isnin ini berhubung siasatan kes salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan bernilai RM1.1 bilion melibatkan perjanjian kerjasama strategik industri semikonduktor antara Kementerian Ekonomi dan syarikat ARM Limited dari United Kingdom (UK).
Mengesahkan perkara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mohd Hafaz Nazar berkata Rafizi dijadual hadir di Ibu Pejabat SPRM pada 10 pagi bagi membantu siasatan.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan salah guna jawatan atau kedudukan untuk suapan.
"Sehingga kini, sebanyak 22 keterangan telah diambil termasuklah dalam kalangan menteri dan juga pegawai kanan beberapa agensi kerajaan sejak siasatan dimulakan pada 13 Feb 2025," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Hafaz berkata minggu lepas, SPRM telah merakam keterangan bekas pembantu Rafizi, Chai Jin Shern atau James Chai selama tiga hari berturut-turut bermula Selasa.
-- BERNAMA