PASARAN

Niaga Hadapan MSM Dijangka Diniagakan Lebih Tinggi Minggu Depan Di Tengah-tengah Konflik Asia Barat

02/05/2026 10:46 AM

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 2 Mei  (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dengan kecenderungan meningkat pada minggu depan, kata seorang peniaga.

Peniaga Proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata konflik berterusan di antara Amerika Syarikat (AS) dengan Iran yang terus menyokong harga minyak mentah, berkemungkinan menjadi faktor sokongan kepada sentimen pasaran.

“Kami menjangkakan harga diniagakan antara RM4,500 hingga RM4,650 setiap tan pada minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Secara mingguan, kontrak Mei 2026 susut RM13 kepada RM4,504 setiap tan, kontrak Jun 2026 merosot RM25 kepada RM4,540 setiap tan manakala kontrak Julai 2026 turun RM27 kepada RM4,570 setiap tan.

Kontrak Ogos 2026 berkurang RM29 kepada RM4,588 setiap tan, kontrak September 2026 menguncup RM28 kepada RM4,599 setiap tan dan kontrak Oktober 2026 turun RM13 kepada RM4,609 setiap tan.

Jumlah dagangan mingguan menyusut kepada 315,237 lot daripada 481,774 lot pada minggu lepas manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 259,891 kontrak daripada 258,789 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk Mei Selatan berkurang RM20 kepada RM4,550 setiap tan.

Pasaran ditutup semalam (1 Mei) bersempena cuti umum Hari Pekerja dan akan menyambung semula dagangan pada 4 Mei.

-- BERNAMA  

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2551921