AM

Kapal Tempur Pesisir Negara Tarik Perhatian Pengunjung Hari Terbuka Armada 2026

01/05/2026 06:18 PM

Oleh Razif Rosli dan Muhamad Azhar Tajudin

LUMUT, 1 Mei (Bernama) -- Kapal Tempur Pesisir (LCS 1) KD Maharaja Lela yang dipamerkan buat kali pertama kepada orang awam antara yang mencuri tumpuan pada Hari Terbuka Armada (HTA) 2026, bersempena Hari Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-92, di sini.

Tinjauan Bernama mendapati rata-rata pengunjung melahirkan rasa teruja dan bangga apabila berpeluang melihat sendiri aset milik TLDM dari dekat.

Seorang pengunjung dari Kulim, Kedah, Mohamad Asraf Ishak, 38, berkata HTA 2026 memberi pengalaman yang amat bermakna khususnya kepada golongan muda untuk memahami peranan TLDM dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara.

“Selama ini kita hanya tengok kapal perang, helikopter dan aset TLDM menerusi televisyen atau media sosial sahaja. Jadi bila datang ke HTA 2026, saya dapat lihat sendiri saiz sebenar kapal, kelengkapan pertahanan dan anggota TLDM menjalankan tugas mereka.

“Paling menarik tentunya melihat LCS 1 yang menjadi kebanggaan kita. Saya rasa rakyat perlu diberi lebih banyak peluang seperti ini supaya mereka lebih menghargai pengorbanan anggota tentera dan memahami pentingnya pertahanan negara,” katanya ketika ditemui Bernama di HTA 2026 di sini hari ini.

Terdahulu, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa berkenan menyempurnakan perasmian Lumut Navy City Parade di Dataran Lumut. 

Selain perarakan, sambutan yang bermula hari ini hingga Ahad itu turut diserikan dengan penganjuran HTA 2026 di Tambatan Pangkalan Lumut, Pangkalan TLDM Lumut yang memberi pengunjung peluang untuk melihat pelbagai aset dengan lebih dekat dan memahami peranan TLDM.

Penjawat awam, Norsuhaila Mohd Yunus, 23, berkata beliau teruja apabila dapat menyaksikan pelbagai aset moden TLDM termasuk sistem persenjataan dan teknologi maritim.

“Sebagai generasi muda, saya rasa program seperti ini sangat penting kerana ia membuka mata kami mengenai fungsi, tanggungjawab dan kecanggihan aset TLDM. Walaupun hanya dapat bergambar berlatarbelakangkan KD Maharaja Lela, saya tetap bangga,” katanya.

Beliau berkata HTA 2026 turut membantu meningkatkan minat golongan muda terhadap bidang pertahanan dan keselamatan negara selain peluang kerjaya dalam pasukan tentera.

Nurdini Munirah Ahmad Munif, 30, dari Sabak Bernam berkata beliau dan rakan-rakannya yang meminati dunia ketenteraan terus merancang untuk hadir selepas mengetahui penganjuran HTA 2026.

“Saya sangat teruja dapat melihat sendiri kapal-kapal TLDM terutamanya LCS 1. Kami kagum dengan tahap profesionalisme anggota TLDM dan usaha pemodenan aset pertahanan negara yang semakin membanggakan,” katanya.

Katanya program seperti HTA 2026 bukan sahaja menjadi medium hiburan dan pendidikan kepada masyarakat, malah membantu mendekatkan rakyat dengan pasukan keselamatan negara.

Sebelum ini, Bernama melaporkan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata LCS 1 telah memulakan perjalanan laut pertama pada 28 Jan lepas bagi tujuan pengujian sistem jentera, jana kuasa, sistem penyaman udara dan sistem pendorongan.

Kapal itu dijangka diserahkan kepada TLDM pada Disember ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2551812