KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pengenalan Elaun Pasca Cuti Bersalin disifatkan sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap golongan ibu bekerja dalam mendepani kos sara hidup
Rata-rata pekerja sektor awam dan swasta yang ditemui Bernama berkata bantuan tambahan selama sebulan itu membolehkan ibu yang baru melahirkan anak menjalani tempoh berpantang dengan lebih tenang tanpa tekanan kewangan.
Penolong Pengarah Kanan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Nurfarehin Abd Aziz, 35, berkata inisiatif itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkasakan wanita.
“Ia sangat membantu, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi sekarang yang memberikan tekanan kepada ramai pihak.
“Sekurang-kurangnya ibu yang baru melahirkan anak dapat melalui tempoh berpantang dengan lebih tenang tanpa terlalu memikirkan soal kewangan,” katanya kepada Bernama selepas Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026 bertemakan ‘Pekerja MADANI, Kesuma Bangsa’ di Unifi Arena, di sini hari ini.
Ketua Pembantu Tadbir Tinggi di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Laily Othman, 56, pula berkata inisiatif itu amat membantu penjawat awam wanita dalam merancang cuti bersalin.
"Bila kita dapat cuti yang lebih lama dengan sokongan elaun, kita boleh mengekalkan kesihatan mental dan kualiti masa bersama keluarga. Ini satu usaha memartabatkan wanita yang sangat bagus," katanya.
Seorang jururawat di Pejabat Kesihatan Daerah Sepang, Nur Farah Diyana Hairo Azaman, 33, yang mempunyai tiga cahaya mata berkata elaun itu akan membantu golongan ibu, khususnya bagi mereka yang memerlukan tempoh pemulihan lebih panjang selepas bersalin.
“Ia memberikan ruang untuk pemulihan yang lebih baik selain membolehkan program penyusuan anak dijayakan dengan lebih sempurna,” katanya.
Ketika menyampaikan amanat Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026, Anwar berkata kerajaan akan memperkenalkan Elaun Pasca Cuti Bersalin sebagai langkah progresif menyokong penyertaan wanita dalam tenaga buruh serta mengurangkan tekanan yang dihadapi ibu selepas melahirkan anak.
Beliau berkata inisiatif itu diperkenalkan susulan dapatan kadar penyertaan tenaga buruh dalam kalangan wanita, khususnya berumur antara 25 hingga 39 tahun, menunjukkan sedikit penurunan, antaranya disebabkan komitmen materniti.
Anwar berkata elaun itu akan diperkenalkan melalui pindaan kepada Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017, bertujuan memberikan sokongan kewangan tambahan kepada ibu yang memerlukan masa lebih panjang selepas tempoh cuti bersalin.
-- BERNAMA