EKONOMI

SMECorp Perkasa Pendigitalan, Automasi PMKS Bagi Pacu Produktiviti

01/05/2026 03:07 PM

Oleh Hasnah Jusid

JOHOR BAHRU, 1 Mei (Bernama) -- Aspek pendigitalan dan automasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) merupakan antara lima bidang tumpuan utama Pelan Strategik Perniagaan (BSP) 2022-2030 SME Corporation Malaysia (SME Corp) bagi mempercepat penggunaan teknologi digital serta meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Rizal Nainy berkata inisiatif itu penting memandangkan PMKS masih berdepan cabaran utama dalam usaha pendigitalan, khususnya melibatkan kombinasi kekangan kos dan kekurangan kepakaran dalam kalangan pemain industri.

Faktor kos turut menjadi antara penghalang terbesar apabila pelaburan awal bagi pendigitalan dilihat tinggi serta di luar kemampuan sebahagian PMKS.

“Kalangan PMKS cenderung melihat pendigitalan sebagai perbelanjaan tambahan dan bukannya pelaburan strategik, terutama apabila pulangan pelaburan (ROI) tidak dapat dilihat dalam jangka pendek,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. 

Selain itu, Rizal berkata kekurangan kepakaran turut menjadi cabaran kritikal apabila wujud jurang pengetahuan dan kemahiran digital dalam kalangan tenaga kerja.

Beliau berkata tanpa kemahiran mencukupi, PMKS sukar melaksanakan projek berasaskan teknologi seperti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), analisis data dan pemasaran digital, selain berdepan kesukaran mendapatkan tenaga pakar berbanding syarikat besar.

Di Johor, tahap pendigitalan PMKS menunjukkan perkembangan positif berdasarkan Banci Ekonomi 2023 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia dengan penggunaan komputer mencecah 97.6 peratus, internet (97.3 peratus) dan laman sesawang (79.0 peratus) pada 2022.

Bagi e-dagang pula, Rizal berkata sebanyak 4,460 PMKS di Johor telah menjalankan transaksi terbabit pada 2022 berbanding 3,212 pada 2015.

Nilai pendapatan e-dagang mencecah RM20.8 bilion pada 2022 dengan pertumbuhan purata tahunan sebanyak 10.1 peratus, sekali gus mencerminkan peningkatan kesedaran terhadap kepentingan pendigitalan dalam kalangan PMKS, katanya. 

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2551706