KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan tahniah kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan wartawan Star Media Group Tarrence Tan Jian Wai, yang dinobatkan sebagai penerima anugerah media pada sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026.
Pada majlis yang berlangsung di Unifi Arena Bukit Jalil di sini hari ini, RTM diumumkan sebagai pemenang Anugerah Media Terbaik (Agensi), manakala Tarrence menerima Anugerah Terbaik Media Negara (Individu).
Fahmi berkata beliau telah lama mengenali Tarrence dan menyifatkannya sebagai seorang wartawan yang sangat baik.
“Saya amat berbangga kerana rakan media termasuk Tarrence yang buat pertama kali saya melihat beliau memakai baju sut dengan tali leher, menjadi Tokoh Pekerja Media yang terbaik untuk negara dan saya sangat berbangga. Tahniah juga untuk RTM,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.
Majlis sambutan itu turut dihadiri 50 petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) termasuk Timbalan Ketua Pengarang (TKP) Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak dan Pemangku TKP Perkhidmatan Berita Ekonomi Harlina Samson.
Fahmi turut meluahkan rasa bangga apabila Telekom Malaysia Bhd diumumkan sebagai penerima Anugerah Majikan Terbaik Negara (Syarikat Besar/GLC), manakala Tenaga Nasional Bhd menerima Anugerah Kontinjen Terbaik Hari Pekerja.
Dalam pada itu, Fahmi turut mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Pakej Daya Tahan Ekonomi Progressive Acceleration for Capability and Employment (PACE) bernilai lebih RM710 juta bagi memperkukuh pembangunan modal insan dan kestabilan pasaran buruh negara.
“Harapan saya mesej yang disampaikan Perdana Menteri agar syarikat-syarikat besar dapat menilai bantuan sokongan terutama aspek gaji dan perlindungan buat pekerja dapat ditingkatkan tanpa menjejaskan keuntungan yang diperoleh,” katanya.
-- BERNAMA