DUNIA

12 Negara Termasuk Malaysia Kecam Serangan Israel Terhadap Global Sumud Flotilla

01/05/2026 12:12 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Sebanyak 12 negara termasuk Malaysia mengecam serangan Israel terhadap Global Sumud Flotilla yang dalam perjalanan ke Gaza di perairan antarabangsa.

Menteri-Menteri Luar Malaysia, Turkiye, Bangladesh, Brazil, Colombia, Jordan, Libya, Maldives, Mauritania, Pakistan, Afrika Selatan dan Sepanyol dalam satu kenyataan berkata serangan terhadap kapal-kapal itu serta penahanan aktivis kemanusiaan secara tidak sah di perairan antarabangsa merupakan pencabulan terang-terangan undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Menteri-menteri luar amat bimbang terhadap keselamatan aktivis awam berkenaan dan menggesa pihak berkuasa Israel mengambil langkah perlu bagi memastikan mereka dibebaskan segera,” menurut kenyataan itu.

Mereka turut menyeru masyarakat antarabangsa supaya memenuhi tanggungjawab moral dan undang-undang untuk menegakkan undang-undang antarabangsa, melindungi orang awam serta memastikan pihak yang melakukan pencabulan bertanggungjawab.

Global Sumud Flotilla, satu inisiatif kemanusiaan awam secara aman yang bertujuan menarik perhatian masyarakat antarabangsa terhadap malapetaka kemanusiaan di Gaza, dipintas tentera laut Israel pada 29 April di perairan antarabangsa berhampiran Pulau Crete, Greece. 

Kapal-kapal itu membawa peserta daripada pelbagai negara, termasuk rakyat Malaysia.

Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) dalam satu kenyataan pada Khamis berkata 175 aktivis dibawa ke Israel menaiki kapal Israel, termasuk 10 rakyat Malaysia.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2551632