KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan syarikat pengilang Techno Secure Print Sdn Bhd untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar proses penenderan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Techno Secure memohon kebenaran semakan kehakiman berhubung proses penenderan semula itu untuk pembekalan label keselamatan dan pengurusan sistem penjejakan dan pengesanan produk-produk farmaseutikal yang berdaftar dengan KKM.
Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan demikian selepas mendapati permohonan itu tidak sesuai untuk diberikan kebenaran melalui semakan kehakiman dan had penentu bagi mendapatkan kebenaran sangat rendah serta beliau perlu melihat kepada relif yang dipohon oleh syarikat berkenaan.
“Selepas diteliti, kebenaran tidak sepatutnya diberikan kerana ia membabitkan semakan kehakiman terhadap proses bagaimana pelaksanaan tender dijalankan.
“Kerajaan (dalam perkara ini) perlu memberi justifikasi bukan sahaja terhadap proses tender tetapi juga penganugerahan tender tersebut.Permohonan ini tidak sesuai untuk diberikan kebenaran dalam kes ini. Oleh itu, permohonan ditolak.Tiada perintah mengenai kos," kata Hakim Alice.
Prosiding hari ini dihadiri Peguam Persekutuan Kimberly Ye Wanchuin yang mewakili Peguam Negara dan peguam Tan Sri Azhar Azizan Harun, Kenny Chan Kean Li dan Lim Poh Leong yang mewakili Techno Secure Print selaku pemohon.
Techno Secure Print memfailkan permohonan itu pada 29 Dis 2025 dengan menamakan KKM, Menteri Kesihatan Malaysia dan kerajaan selaku responden pertama hingga ketiga.
Antara relif-relif yang dipohon syarikat itu ialah memohon untuk mendapatkan perintah mandamus bahawa responden pertama (KKM) menjalankan Penenderan Semula bagi Tender Terbuka: Pusingan Ketiga – Penenderan Semula dengan Tambahan Skop Baharu untuk Pembekalan Label Keselamatan Dan Pengurusan Sistem Penjejakan dan Pengesanan (Pharmaceutical Track & Trace System – PTTS) Produk-Produk Farmaseutikal Yang Berdaftar Dengan KKM.
Syarikat itu turut memohon mendapatkan perintah certiorari untuk membatalkan keputusan responden pertama (KKM), yang ‘mengawadkan’ tender terbuka itu kepada Netsmart Sdn Bhd pada 30 Sept 2025.
Secara tambahan alternatif, syarikat itu juga memohon perintah untuk mendapatkan ganti rugi khas RM79,114.84, ganti rugi am yang akan ditaksirkan serta ganti rugi teladan.
-- BERNAMA