AM

1,200 Warga Emas Sertai Program WE FIT 2026 Perak - Exco

30/04/2026 03:55 PM

IPOH, 30 April (Bernama) -- Kerajaan negeri menyasarkan sebanyak 1,200 individu dalam kalangan warga emas bakal menyertai Program Warga Emas Fit (WE FIT) 2026 yang dilaksanakan di 12 lokasi di seluruh negeri bermula April hingga Oktober tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak Datuk Salbiah Mohamed berkata program yang diperkenalkan sejak tahun lepas itu adalah antara inisiatif kerajaan negeri dalam menangani isu penuaan penduduk di Perak.

“Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Perak telah mencapai status negeri menua apabila 14.6 peratus penduduknya terdiri daripada warga emas setakat 2023.

“Perkembangan ini menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh inisiatif yang memberikan penekanan kepada aspek kesihatan fizikal, kesejahteraan mental serta penglibatan sosial golongan warga emas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program WE FIT Dewan Undangan Kepayang 2026 di Dewan Greentown, Flat Ashby Road, di sini hari ini.

Salbiah berkata program berkenaan turut berperanan memperkukuh hubungan sosial, mencegah pengasingan sosial serta mengurangkan kadar warga emas tidak aktif dan berisiko terlantar.

Impak pelaksanaan sebelum ini menunjukkan perubahan positif dalam kalangan peserta termasuk peningkatan tahap kecergasan fizikal dan emosi serta penglibatan semula dalam aktiviti komuniti.

“Penilaian yang dijalankan mendapati 100 peratus daripada 329 responden bersetuju agar program ini diteruskan pada masa akan datang, selain berjaya mewujudkan ruang interaksi sosial yang sihat, sekali gus menyokong kesejahteraan hidup warga emas secara menyeluruh,” katanya.

Selain itu, beliau berkata antara pengisian Program We Fit termasuk aktiviti senamrobik, saringan kesihatan, ceramah kesedaran, terapi minda serta pameran agensi yang memfokuskan kepada peningkatan mobiliti dan fungsi kognitif peserta.

“Kita berharap program itu dapat melahirkan warga emas yang lebih sihat, aktif dan sejahtera, sekali gus menyumbang kepada pembangunan komuniti yang inklusif, dinamik dan berkualiti di negeri ini,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2551338