JENAYAH & MAHKAMAH

Suri Rumah Didakwa Seludup Warga Indonesia

30/04/2026 03:54 PM

MANJUNG, 30 April (Bernama) -- Seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menjalankan aktiviti penyeludupan 24 migran warga Indonesia pada awal bulan ini.

Umi Kalsum Omar Noor Balasubramaniam, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama, wanita berkenaan didakwa menyeludup lapan lelaki dan seorang wanita warga Indonesia kira-kira 3.30 pagi di tepi jalan Batu 11 Segari dalam daerah Manjung pada 4 April lepas.

Bagi pertuduhan kedua, Umi Kalsum didakwa menyeludup 11 lelaki dan empat wanita warga Indonesia di sebuah rumah di Jalan Segari, Batu 12 Segari kira-kira 4 pagi pada tarikh yang sama.

Dalam prosiding sama, seorang lelaki warga Indonesia Theodurus Seran, 30, mengaku bersalah atas dua pertuduhan menjalankan aktiviti penyeludupan 15 migran warga Indonesia.

Mengikut pertuduhan, dia yang bertindak sebagai penjaga rumah penampungan, didakwa menyeludup 10 lelaki dan lima wanita warga Indonesia pada lokasi dan tarikh yang sama.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (AKTA 670), yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam yang mewakili Umi Kalsum, Mohamad Zaidi Othman merayu agar tertuduh diberikan jaminan atas alasan tertuduh mempunyai lima orang anak yang berusia antara setahun hingga tiga tahun, manakala suaminya lelaki warga India yang bekerja sebagai guru mengaji yang tiada pendapatan tetap. 

Theodurus pula tidak diwakili peguam.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Amal Aziemah Abd Kohar tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi. 

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Mei bagi tarikh sebutan semula kes.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2551337