EKONOMI

Nasi Impit Retort Adyanana Sasar Tembusi Pasaran Brunei, Indonesia

30/04/2026 05:03 PM

Oleh Kamarul Halim M Kamal

BATU PAHAT, 30 April (Bernama) — Selepas berjaya menembusi pasaran Singapura sejak dua tahun lalu, perniagaan Nasi Impit Retort Adyanana kini menyasarkan untuk mengembangkan sayap ke Brunei dan Indonesia dengan mencari rakan niaga baharu di kedua-dua negara berkenaan.

Pemiliknya, Ahmad Md Yaacob, 66, berkata kejayaan yang dicapai pada masa ini adalah sesuatu yang tidak pernah dijangka, apatah lagi teknologi retort yang digunakan ditemui secara tidak sengaja ketika menonton televisyen semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.

“Saya mula berniaga di gerai makan sejak 1995 dengan menjual hidangan berasaskan nasi impit seperti lontong, soto dan bihun soto, selain nasi berlauk. Selepas kira-kira 10 tahun, saya mula menerima tempahan daripada kenalan rapat,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Menurutnya, pada peringkat awal nasi impit yang dihasilkan adalah secara kecil-kecilan dengan dibungkus menggunakan daun pisang dan hanya dibuat berdasarkan kepada tempahan kerana tidak tahan lama.

“Ketika itu, nasi impit hanya mampu bertahan antara 24 hingga 36 jam sebelum berair, rosak dan mengeluarkan bau. Jika disimpan dalam peti sejuk pula, teksturnya menjadi keras dan rasa asalnya terjejas,” katanya.

Ahmad berkata kekangan itu menyebabkan beliau tidak dapat memenuhi tempahan dalam jumlah yang besar, termasuk ketika awal pelaksanaan PKP apabila permintaan meningkat tetapi penghantaran menjadi cabaran.

Bagaimanapun, titik perubahan berlaku apabila beliau menemui teknologi retort, yang membolehkan makanan diproses dan disimpan lebih lama tanpa menjejaskan kualiti.

“Sepanjang tempoh PKP, saya mempelajari kaedah ini di Melaka dan mula menggunakannya dalam penghasilan nasi impit. Hasilnya, produk itu kini mampu bertahan sehingga setahun,” katanya.

Beliau berkata pasaran awal meliputi Johor dan Melaka sebelum diperluas ke Kuala Lumpur dan Selangor. Pada 2024, produk tersebut mula memasuki pasaran Singapura melalui ejen tempatan.

Kini, pihaknya mampu menghasilkan kira-kira 500 bungkus nasi impit sehari, dengan peningkatan ketara ketika musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

Ahmad berkata masalah utama yang dihadapinya selama lebih sedekad berkaitan ketahanan produk kini telah berjaya diatasi, sekali gus membuka peluang untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Nasi Impit Retort Adyanana kini ditawarkan dalam dua saiz iaitu 500 gram dan 1 kilogram.

Jabatan Pertanian Daerah Batu Pahat turut menyokong perkembangan perniagaan itu dengan menyediakan bantuan berupa sebuah mesin retort bernilai RM45,000.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2551377