Kes yang dikendalikan oleh Dr Shafiqah Nasruddin pada satu malam Januari lalu merupakan satu “keajaiban”, dan bagi beliau, sebahagian besarnya disumbangkan oleh Fluffy.
Segalanya bermula apabila seorang individu bergegas masuk ke klinik, membawa seekor kucing jalanan yang cedera parah. Tubuh haiwan itu berlumuran darah, remuk akibat dilanggar kereta. Malah, matanya terjojol keluar akibat trauma. Keadaannya menuntut pembedahan segera.
“Malam itu memang sangat teruk. Ketika itu hanya ada kami berdua (beliau dan pembantu veterinar). Darah terlalu banyak keluar, memaksa kami lakukan pemindahan darah,” imbas doktor veterinar itu ketika ditemui di iVet Petcare Clinic di sini, lewat petang Jumaat lalu.
Mujurlah ada Fluffy, “penghuni” tetap klinik yang berusia lima tahun. Kacukan baka Parsi (Persian) dan Maine Coon, kucing seberat enam kilogram itu memenuhi kriteria penderma darah yang ideal, iaitu berat mencukupi, sihat dan telah diberikan vaksin.
Kucing secara umumnya “tidak mendengar kata” ketika prosedur perubatan, namun Fluffy ternyata berbeza. Digambarkan sebagai “gergasi yang lemah lembut”, haiwan ini kekal tenang sepanjang prosedur, memudahkan pemindahan darah dijalankan.
Pemindahan darah bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam rawatan perubatan veterinar, namun untuk mendapatkan penderma bukan mudah. Kucing dan anjing hanya boleh menderma darah sekali setiap tiga bulan dan perlu memenuhi kriteria kesihatan tertentu. Pemilik kadangkala bergantung pada haiwan kesayangan sendiri - sekiranya memenuhi syarat -atau meminta bantuan rakan serta keluarga yang mempunyai haiwan peliharaan.
Walaupun Malaysia belum mempunyai bank darah khusus untuk haiwan peliharaan, terdapat beberapa kumpulan dalam talian yang berfungsi sebagai platform bagi mendaftarkan haiwan menjadi penderma atau menghubungkan pemilik haiwan penderma dengan pihak yang memerlukan. Selain itu, media sosial turut memainkan peranan penting dalam usaha ini.
Namun, dalam situasi kecemasan apabila faktor masa amat penting, banyak klinik veterinar, khususnya di kawasan majoriti Islam, memelihara kucing seperti Fluffy yang berfungsi sebagai penderma kecemasan dan juga penyokong emosi.
“Kucing jalanan itu pasti akan mati pada malam tersebut jika kami tidak lakukan pemindahan darah, kalau Fluffy tak ada,” kata Dr Shafiqah.
TIDAK BERHARGA DI MATA PEMILIK
Suasana klinik di malam Jumaat itu seperti biasa, tidak terlalu sibuk dan tidak terlalu lengang. Dalam tempoh dua jam, tiga individu datang membawa kucing masing-masing, mengabsahkan realiti kebanyakan haiwan yang dirawat di klinik veterinar berkenaan adalah kucing.
Fluffy - nama penuhnya Fluffy Kassim - berjalan perlahan-lahan sebelum merebahkan tubuh di lantai, meminta dibelai. Tidak jauh darinya Ahmad Tabby, kucing “sendo” berwarna putih berbelang berusia dua tahun dengan ekor yang sedikit bengkok, sibuk menghidu-hidu mencari snek. Adiknya Princess Coco yang bertubuh lebih kecil, asyik menampar-nampar Fluffy.
“Dia memang suka buli Fluffy,” kata pembantu veterinar Muhammad Nazim Adil Sobri. Rakan sekerjanya Fatin Faizah Aidil Yushariza mengalihkan perhatian Coco dengan alat mainan.
Ketiga-tiga kucing itu merupakan penderma darah, namun Coco hanya menderma kepada anak kucing kerana saiznya yang kecil. Selain itu, ketiga-tiganya juga berperanan memberikan sokongan emosi kepada pemilik haiwan yang tertekan serta anak kucing dibuang.
Fluffy jelas menjadi kegemaran ramai. Pelanggan tertarik dengan saiznya, bulu yang gebu dan sifatnya yang lembut. Malah ada yang datang semata-mata untuk bermain dengannya. Semuanya tampak bahagia.
Namun, di sebalik “kebahagiaan” yang dinikmatinya sekarang, Fluffy pernah melalui episod menyedihkan.
Sebelum menjadi kucing peliharaan klinik itu, Fluffy dibela oleh seorang lelaki. Pada penghujung 2023, tuannya meninggalkan Fluffy di klinik untuk penjagaan sementara. Namun, tempoh yang bermula sebagai sementara berlanjutan dengan si pemilik memberikan pelbagai alasan untuk tidak datang mengambil semula Fluffy, sehinggalah dia langsung tidak dapat dihubungi.
“Dia asyik beri alasan, kerja luar daerah dan sebagainya sehinggalah kami langsung tidak dapat menghubunginya,” dedah Dr Shafiqah.
Ketika itu, Fluffy juga sering sakit-sakit. Dr Shafiqah berkata kucing itu mengalami jangkitan bakteria serius yang memerlukan rawatan antibiotik intravena selama sebulan. Fluffy juga kerap mengalami cirit-birit. Dr Shafiqah mengesyaki pemiliknya meninggalkan Fluffy kerana tidak mahu membayar kos rawatan.
Di sebalik masalah kesihatan yang dihadapinya, pihak klinik mengambil keputusan untuk memelihara Fluffy. Kucing itu akhirnya pulih sepenuhnya. Bulunya kembali lebat dan berat bertambah. Fluffy tidak lagi kemurungan; mula bermain dengan kanak-kanak yang datang ke klinik serta kucing-kucing lain.
Pada waktu yang sama, Tabby, Coco dan adik-beradik mereka ditinggalkan di hadapan klinik. Selepas dimandulkan, Tabby dan Coco dijadikan kucing peliharaan klinik sementara yang lain pula berjaya ditemukan dengan pemilik baharu.
Menjelang 2025, ketiga-tiganya menjadi penderma darah rasmi. Secara keseluruhan, mereka telah membantu menyelamatkan lebih daripada 15 ekor kucing.
TEMPAT PEMBUANGAN
Fluffy dan “adik-beradik angkatnya” bernasih baik, namun tidak semua haiwan yang dibuang beruntung.
Klinik veterinar, restoran dan pusat perlindungan haiwan antara lokasi popular bagi individu tidak bertanggung jawab membuang haiwan peliharaan mereka. Beberapa buah klinik veterinar dan pusat perlindungan haiwan memberitahu Bernama yang mereka kerap menemukan anak kucing dan anjing - malah kucing dan anjing dewasa - di depan premis, sebaik pintu dibuka untuk memulakan operasi harian.
Ada kalanya haiwan malang tersebut ditemukan sudah tidak bernyawa.
Sepertimana iVet, mereka yang menjalankan perkhidmatan penjagaan sementara berdepan masalah sama - haiwan peliharaan tidak diambil semula oleh pemilik yang melepaskan tanggungjawab menjaga dan mencari pemilik baharu haiwan belaan mereka kepada penyedia perkhidmatan.
Seorang doktor veterinar di Gombak yang tidak mahu namanya didedahkan, berkata kes sebegini selalunya berlaku ketika musim perayaan seperti hari raya atau apabila pemilik berpindah.
Kini, beliau sedang menjaga seekor kucing jantan berwarna putih dan oren berumur setahun bernama Petri yang ditinggalkan oleh pemiliknya selepas cuti raya baru-baru ini. Selepas tidak muncul mengambil semula Petri pada hari yang sepatutnya, beliau menghubungi pasangan itu namun tidak berjawab. Selepas sekian lama, si isteri membalas mesej dan meminta maaf serta mengaku mereka tidak lagi mampu menjaga Petri.
“Kemudian, dia kata, awak bagilah kepada orang lain, atau lepaskan di luar,” kongsi doktor veterinar itu. “Perkataan yang dia guna membuatkan saya berasa sedih… tergamak dia cakap lepaskan saja,” katanya.
Selain pegawai veterinar itu, ada seorang lagi individu yang turut berusaha membantu Petri. Penolong penyelidik di sebuah universiti dan hanya mahu dikenali sebagai Adam, menggambarkan Petri sebagai kucing dengan “sepasang mata yang merayu dibelai”.
Sebagai pemilik tiga ekor kucing, Adam berasa amat sedih dengan nasib Petri. Berkongsi pandangan dengan Bernama, lelaki itu berkata ramai individu membela kucing hanya kerana rupa ataupun atas sebab mereka mampu tanpa benar-benar memberi perhatian kepada haiwan tersebut.
“Hanya kerana kucing itu ‘biasa-biasa’ saja, tidak bermakna ia tidak layak disayangi sepertimana baka mahal,” katanya menerusi Google Meet. Setakat ini beliau telah memuat naik beberapa hantaran di media sosial bagi mencari individu yang sudi membela Petri.
MANDUL
Doktor veterinar dan aktivis haiwan menyifatkan sikap tidak bertanggungjawab pemilik sebagai punca utama masalah ini, khususnya kegagalan memandulkan haiwan peliharaan. Apabila haiwan peliharaan melahirkan anak yang mereka tidak mahu atau tidak mampu jaga, mereka mengambil jalan mudah dengan membuang anak kucing atau anjing tersebut.
Beberapa buah pusat perlindungan haiwan di Lembah Klang yang dihubungi Bernama menyatakan premis mereka sudah penuh.
“Memang beginilah selalunya. Malah, (di sebalik yang memenuhi pusat perlindungan) jumlah di luar terus bertambah,” kata Kim Yeoh, presiden Second Chance at Life, sebuah pusat perlindungan haiwan. Pusat beliau menjalankan program adopsi setiap Sabtu di IOI2RIO Bandar Puteri Puchong, namun sambutan agak rendah. Meskipun begitu, beliau berkata mereka tidak akan berpaling daripada haiwan yang memerlukan.
Yeoh juga berpendapat pemandulan perlu dijadikan syarat untuk adopsi haiwan kesayangan sekiranya tidak mahu isu haiwan terbiar memburuk atau berlarutan.
Faktor lain ialah masalah ekonomi, iaitu apabila kos sara hidup meningkat, masalah haiwan dibuang juga bertambah. Sehubungan dengan itu, aktivis menegaskan aspek kewangan perlu dipertimbangkan sebelum seseorang membuat keputusan untuk memelihara haiwan.
“Haiwan peliharaan bergantung sepenuhnya pada kita. Mereka perlukan makanan, rawatan, penjagaan dan perhatian setiap hari. Ada yang hidup hingga 10 hingga 15 tahun, iaitu satu komitmen jangka panjang,” kata Dr Shafiqah.
“Menjadi pemilik bertanggungjawab bermaksud menjaga mereka dalam setiap fasa kehidupan, sama ada sihat atau sakit.”
Sejak kes pada malam Januari itu, Fluffy mengalami anemia ringan dan buat masa ini tidak dapat menderma darah, dan mungkin untuk selama-lamanya jika ia tidak pulih sepenuhnya. Kucing jalanan yang diselamatkannya pada malam itu kini hidup sihat di bawah jagaan individu yang membawanya ke klinik.
Sekalipun Fluffy “separa bersara” daripada menderma darah, petugas di klinik itu tidak kisah. Nilai kucing itu jauh melangkaui kemampuannya menderma darah.
“Kami tidak akan sekali-kali serahkan dia kepada orang lain. Dia sangat comel dan sangat baik,” kata Dr Shafiqah sambil tersenyum.