EKONOMI

Shopee Lancar Inisiatif RM150 Juta 'Shopee Lindung Niaga' Perkukuh Daya Tahan PMKS

29/04/2026 04:41 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Shopee melancarkan inisiatif Shopee Lindung Niaga bernilai RM150 juta bagi memperkukuh daya tahan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia melalui sokongan menyeluruh melibatkan penghantaran, modal kerja serta pemenuhan pesanan.

Dalam kenyataan hari ini, platform e-dagang itu memaklumkan bahawa inisiatif berkenaan mencerminkan pendekatan seimbang dalam menyokong pengguna dan PMKS ketika berdepan persekitaran perniagaan yang semakin mencabar dan berubah-ubah.

“Dengan menggabungkan sokongan segera serta pelaburan berterusan dalam infrastruktur dan alatan perniagaan, Shopee berhasrat memperkukuh ketahanan jangka panjang perniagaan, di samping memastikan akses dan nilai yang konsisten kepada pembeli.

“Shopee Lindung Niaga memberi tumpuan kepada sokongan operasi jangka pendek serta pembangunan keupayaan jangka panjang bagi memastikan PMKS kekal berdaya saing,” menurut kenyataan itu.

Melalui inisiatif ini, Shopee memperkukuh aktiviti transaksi melalui gabungan langkah logistik dan sokongan bersasar, termasuk pengenalan baucar penghantaran percuma tanpa perbelanjaan minimum.

Langkah itu dijangka mengekalkan akses kepada barangan keperluan harian, merangsang permintaan serta menyokong kadar penukaran jualan penjual.

Shopee turut memperluas sokongan bagi kategori barangan besar dan bernilai tinggi seperti perabot dan perkakas rumah melalui baucar penghantaran bersasar, sekali gus mengurangkan beban kos logistik dan meningkatkan akses pembelian kepada pengguna.

Selain itu, platform berkenaan memudahkan akses kepada penyelesaian modal kerja melalui kerjasama dengan Monee, di samping memperkukuh keupayaan pemenuhan pesanan bagi meningkatkan fleksibiliti operasi penjual.

Shopee turut memperluas penggunaan perkhidmatan Fulfilled by Shopee, membolehkan lebih ramai penjual memanfaatkan kemudahan pergudangan dan logistik bagi memperkemas operasi perniagaan.

“Selain sokongan segera, Shopee terus melabur dalam penyelesaian berasaskan teknologi seperti Chat AI Assistant, Product AI Optimiser dan AI Model Try-On bagi meningkatkan kecekapan, menjimatkan masa serta memperkukuh pengurusan perniagaan jangka panjang,” menurutnya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2550818