KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini melancarkan Cabaran River Flooding Adaptation & Resilience (RIFAR) bagi memperkasa golongan belia dengan menyumbang idea dan tindakan dalam memperkukuh daya tahan sungai di Malaysia.
Inisiatif itu merupakan kerjasama dengan rakan strategik dalam penglibatan universiti, pelaksanaan sebenar langkah mitigasi banjir dan kepakaran teknikal dalam daya tahan dan kelestarian sungai, menurut SC dalam satu kenyataan hari ini.
Bercakap pada webinar pelancaran Cabaran RIFAR, Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata pasaran modal menghargai idea yang bukan sahaja kukuh dari segi teknikal, malah berdaya maju dari sudut kewangan.
“Kami yakin pelajar universiti di Malaysia mampu menyumbang kepada penyelesaian bersepadu lembangan sungai kita,” katanya.
Pertandingan peringkat kebangsaan itu mempelawa pelajar universiti membantu menangani ancaman banjir sungai yang semakin meningkat melalui dua kategori berbeza iaitu The Sprint dan The Marathon.
The Sprint memberi tumpuan kepada laluan kesedaran melalui komunikasi kreatif bagi meningkatkan kesedaran awam dan tindakan komuniti terhadap kesihatan sungai di Malaysia, manakala The Marathon merupakan laluan inovasi antara disiplin bagi membangunkan penyelesaian mitigasi banjir di Taman Sri Muda.
Menurut kenyataan itu, penyelesaian yang dicadangkan itu menggabungkan konsep kejuruteraan dengan pelan pembiayaan pasaran modal dan manfaat bersama iklim yang boleh diukur, seperti tenaga boleh diperbaharui.
Cabaran RIFAR menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM50,000 bagi kategori The Marathon dan RM7,000 bagi The Sprint, dan terbuka kepada semua pelajar universiti di Malaysia serta luar negara.
Rakan kerjasama terdiri daripada ICAEW Malaysia, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) dan Jeffrey Sachs Center on Sustainable Development (JSC).