EKONOMI

Khazanah, SC Laksanakan Penetapan Harga Sukuk Token Pertama, Nilai Nominal RM100 Juta

28/04/2026 08:24 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Khazanah Nasional Bhd dengan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), berjaya melaksanakan penetapan harga bagi sukuk ditokenkan pertama di Malaysia dengan nilai nominal RM100 juta. 

Usaha itu sekali gus menjadi langkah penting ke arah penggunaan teknologi digital dalam menyokong pembangunan pasaran modal Malaysia.

Dalam kenyataan bersama hari ini, dua pihak terbabit memaklumkan bon ditokenkan (atau sukuk) merujuk kepada produk pasaran modal yang diwujudkan dalam bentuk digital menggunakan Teknologi Lejar Teragih (DLT).

Menerusi tokenisasi, produk pasaran modal akan mempunyai rekod digital atau “kembar digital” tersendiri yang dilindungi secara kriptografi dan bersifat tidak boleh diubah suai

Pengarah Urusan Khazanah Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata sebagai dana kekayaan berdaulat negara, peranan Khazanah bukan sekadar menjana pulangan, tetapi juga menyokong pembangunan pasaran modal domestik.

“Sukuk yang ditokenkan ini dengan hasil kerjasama SC, mencerminkan peranan itu melalui usaha praktikal dalam meneroka keupayaan teknologi digital untuk menambah baik penerbitan dan pengurusan instrumen pasaran modal,” katanya dalam kenyataan itu.

Amirul Feisal berkata Khazanah juga kekal komited untuk memajukan pasaran modal Malaysia secara bermatlamat, beretika dan bertanggungjawab. 

“Pelaksanaan (usaha) rintis ini merupakan langkah penting dalam membina keupayaan, keyakinan dan ekosistem yang diperlukan, di samping memastikan inovasi ini disokong oleh tadbir urus yang kukuh, selaras dengan rangka kerja sedia ada, dan memberikan manfaat yang berpanjangan kepada negara,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi SC Datuk Mohamad Faiz Azmi berkata usaha bersama itu akan mentakrif semula landskap pasaran modal iaitu mencerminkan kesediaan Malaysia menerajui era kewangan digital, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai penanda aras global dalam inovasi kewangan Islam.

“Pelaksanaan perintis ini juga sejajar dengan hala tuju Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030 untuk terus memperkukuh pasaran bon dan sukuk melalui inovasi, peningkatan keterhubungan pasaran dan kecekapan pelaksanaannya,” katanya.

Menurut kenyataan bersama itu, penerbitan berkenaan adalah sebahagian daripada Program Sukuk Danum atau program Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) dengan nilai nominal sehingga RM20 bilion.

Terbitan sulung itu mempunyai tempoh matang selama setahun dan distrukturkan berdasarkan prinsip Syariah Wakalah bi al-Istithmar.

Khazanah dan SC menyatakan dengan menggabungkan aset patuh Syariah bersama DLT, inisiatif itu bertujuan meningkatkan kebolehcapaian, kecekapan dan ketelusan dalam pasaran modal, di samping membenarkan akses kepada maklumat secara berterusan (24 jam) kepada pemegang taruh berkaitan.

“Pemodenan proses penerbitan sukuk ini juga dapat mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju inovasi kewangan Islam serta menetapkan penanda aras digital baharu bagi pasaran modal negara.”

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2550580