AM

KD Lekir Tamat Misi Australia, Singgah Jakarta Dalam Pelayaran Pulang

28/04/2026 06:56 PM

Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil

JAKARTA, 28 April (Bernama) -- Kapal korvet kelas Kasturi Tentera Laut Diraja Malaysia KD Lekir kini berlabuh sementara di Pelabuhan Tanjung Priok di sini dalam pelayaran pulang ke Malaysia selepas menamatkan siri latihan ketenteraan laut di Australia.

Pegawai Memerintah KD Lekir Komander Megat Mohamad Sofwan Firdaus Megat Mohamad Yunus berkata kapal itu berlabuh pada Ahad lepas, setelah selesai penugasan Lekir Australia Deployment 2026 (LEAD ‘26) selama 67 hari dan akan bertolak pulang ke Lumut, Perak pada esok.

“Kami jangkakan perjalanan memakan masa empat hari dan akan tiba untuk Hari Terbuka Armada 2026 sempena sambutan ulang tahun TLDM,” katanya kepada Bernama hari ini.

Hari Terbuka Armada 2026 yang dijadualkan berlangsung di Pangkalan TLDM Lumut bermula 1 hingga 3 Mei, diadakan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun TLDM ke-92.

Megat Mohamad Sofwan Firdaus berkata sejak tiba di ibu negara Indonesia itu, TLDM telah mengadakan beberapa acara bersama Angkatan Laut Indonesia bagi mengeratkan hubungan dan memperkukuh kerjasama serantau.

“Selain resepsi di atas KD Lekir semalam sempena sambutan ulang tahun TLDM, pada hari ini kami turut mengadakan lawatan ke kapal Angkatan Laut Indonesia, selain mengadakan aktiviti sukan secara bersama.

“Seperti yang kita tahu, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut mempunyai hubungan diplomatik yang rapat. Hubungan rapat ini telah terjalin sekian lama juga sebagai negara serumpun,” katanya.

Mengenai LEAD ‘26, Megat Mohamad Sofwan Firdaus berkata ia bukan sahaja menjadi platform meningkatkan keupayaan operasi kapal, malah turut memperkukuh kerjasama pertahanan serantau.

“Penugasan ini memberi pengalaman yang amat berharga kepada seluruh warga KD Lekir, khususnya dalam meningkatkan tahap kesiapsiagaan operasi serta memperluas kerjasama dengan rakan-rakan tentera laut antarabangsa,” katanya.

KD Lekir sebelum ini menyertai beberapa latihan utama termasuk Exercise KAKADU 2026 di Darwin dan Sydney dari Mac hingga awal April, International Fleet Review 125 di Sydney serta Malaysia-Australia Exercise (MASTEX) 2026 di Perth dari 14 hingga 20 April.

Menurut Megat Mohamad Sofwan Firdaus, penglibatan dalam latihan bersama, termasuk dengan kapal Tentera Nasional Indonesia (TNI), KRI Raden Eddy Martadinata mencerminkan hubungan erat antara TLDM dan Angkatan Laut Indonesia.

“Kerjasama antara TLDM dan TNI AL terus diperkukuh melalui latihan bersama dan interaksi profesional seperti ini yang bukan sahaja meningkatkan keupayaan operasi kedua-dua pihak tetapi juga mengeratkan hubungan persahabatan antara anggota,” katanya.

Beliau berkata hubungan itu turut mencerminkan kepercayaan tinggi antara Malaysia dan Indonesia dalam memastikan keselamatan dan kestabilan maritim serantau.

“Ini membuktikan hubungan Malaysia dan Indonesia kekal kukuh, bukan sahaja di peringkat diplomatik tetapi juga melalui kerjasama ketenteraan yang berterusan,” katanya.

Pelayaran KD Lekir bermula dari Lumut pada 26 Feb lepas dan singgah di beberapa lokasi strategik di Australia sebelum tiba di Jakarta pada April sebagai sebahagian daripada laluan pulang, yang dijadualkan berakhir pada 29 April.

Sepanjang penugasan itu, beliau berkata warga kapal turut menyambut Aidilfitri di Jervis Bay pada awal April serta menganjurkan majlis resepsi di Sydney, sekali gus menonjolkan nilai persahabatan dan diplomasi pertahanan Malaysia di peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2550517