AM

Jabatan Perikanan Kelantan Labuh 16 Tukun Tiruan Di Perairan Tumpat

27/04/2026 07:18 PM

KOTA BHARU, 27 April (Bernama) -- Jabatan Perikanan Kelantan melabuhkan sebanyak 16 unit tukun tiruan berbentuk kuboid yang berkonsepkan konservasi di perairan Tumpat bagi memulihara sumber marin di negeri ini.

Pengarahnya, Ismail Ibrahim berkata inisiatif tahunan oleh pihaknya itu bagi memastikan kemandirian dan kelestarian sumber alam, khususnya kelestarian ekosistem marin.

Beliau berkata struktur binaan itu bukan sahaja menyediakan kawasan pembiakan, nurseri dan perlindungan untuk pelbagai spesies ikan serta hidupan marin, malah ia juga mampu memulihkan habitat marin yang musnah akibat aktiviti perikanan dan bencana alam. 

"Antara lain, kekuatan fizikal tukun ini bertindak sebagai penghalang terhadap aktiviti pukat tunda di pesisiran pantai.

"Setiap unit tukun tiruan ini dianggarkan seberat 15 tan dengan ukuran 2.6 meter tinggi, serta 2.5 meter lebar dan panjang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail berkata pelaksanaan insiatif tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM500,000 yang disalurkan melalui Program Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT).

Beliau berkata bagi meningkatkan lagi fungsi struktur berkenaan, pihak jabatan turut memperkenalkan tukun berkonsepkan rekreasi. 

"Reka bentuk dan spesifikasinya disesuaikan mengikut lokasi peletakan bagi mewujudkan kawasan agropelancongan yang tertumpu kepada aktiviti perikanan rekreasi dan selam skuba.

"Berdasarkan rekod jabatan ini, perairan Kelantan menjadi tapak peletakan bagi 328 unit tukun pelbagai saiz, jenis dan konsep sejak 2007 sehingga 2025," katanya.

Beliau berkata peletakan itu merangkumi beberapa lokasi di daerah Pasir Puteh, Tumpat, Bachok dan Kota Bharu, yang melibatkan anggaran peruntukan berjumlah RM6 juta.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2550072