JENAYAH & MAHKAMAH

Operasi Roboh Surau Lama Atas Tanah Tidak Sah Berjalan Lancar Dan Terkawal - Polis

27/04/2026 10:39 PM

IPOH, 27 April (Bernama) -- Sebuah premis membabitkan Surau al-Karamah di Kampung Seri Keramat, Pasir Putih di sini yang dibina atas tanah tidak sah telah dirobohkan dalam satu operasi yang berjalan lancar dan terkawal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Muhammad Najib Hamzah berkata perobohan itu dilaksanakan kira-kira 9.30 pagi setelah mendapat kebenaran melalui perintah Mahkamah Tinggi Ipoh, selaras dengan peruntukan undang-undang.

Beliau berkata operasi berkenaan turut melibatkan kehadiran bailif mahkamah, pihak pemaju kawasan perumahan serta agensi berkaitan, iaitu Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Majlis Agama Islam Perak (MAIPk) bagi memastikan proses dilaksanakan mengikut prosedur dan peraturan yang ditetapkan. 

“Polis mengambil langkah-langkah sewajarnya sepanjang operasi dijalankan bagi memastikan keadaan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terkawal.

“Secara keseluruhannya, proses perobohan berjalan lancar dan terkawal tanpa sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Najib berkata pihaknya menasihatkan orang ramai agar sentiasa menghormati undang-undang dan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Sementara itu, Pengerusi Surau al-Karamah RPT Pengkalan Pertama Rosli Mhd Daud berkata semua pihak perlu berlapang dada menerima keputusan itu selepas melalui satu proses perbincangan yang panjang termasuk saluran undang-undang, sambil berharap usaha mengimarahkan surau baharu dapat diteruskan bersama.

“Pada masa sama, pihak kami juga sedang berusaha mengutip dana untuk pembinaan masjid baharu berhampiran kawasan itu, tak sampai satu kilometer. Jadi, lebih baik tenaga yang kita ada itu difokuskan kepada masjid berkenaan.

“Kini, kami telah memperoleh dana kira-kira RM500,000 dan pihak kami juga telah memohon kepada ICU JPM (Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri) bagi mendapatkan dana tambahan untuk pembinaan masjid itu yang tanahnya kini telah pun diluluskan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank bernombor 5582 7503 7825 atas nama Pembangunan Masjid Al-Mukhlisin, Taman Pengkalan Pertama, Ipoh.

Pada 23 April 2021, jawatankuasa surau berkenaan memohon campur tangan MAIPk, Menteri Besar serta Pejabat Tanah dan Galian Perak untuk menghalang tindakan merobohkan surau itu bagi memberi laluan kepada projek perumahan.

Isu berkenaan juga mendapat perhatian Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang memberi perkenan agar surau itu tidak dirobohkan sehingga surau baharu siap dibina. 

-- BERNAMA

 

 

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2550164