KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu (SAABM) kali kelima bakal diadakan pada Oktober ini dengan mengangkat tema “Peradaban Melayu Mewajah Dunia”.
Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Bahasa Melayu Malaysia (PABMM) Dr Kamarazaman Yacob berkata simposium yang berlangsung pada 10 Okt depan, diadakan bertujuan memastikan Bahasa Melayu terus dimartabatkan pada peringkat antarabangsa.
“Tema kali ini jauh lebih berat daripada tema sebelumnya, namun ia merupakan satu skop atau ruang lingkup penulisan yang jauh lebih besar berbanding simposium-simposium yang lepas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran SAABM dan Malam Puisi Mengukir Bangsa, di sini hari ini.
Pelancaran itu disempurnakan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Penaung Kehormat PABMM.
Simposium yang dianjurkan bersama dengan Ikhtisas Kepimpinan Kamarazaman dan Thai Global Business Administration Technological College (TGBC), Thailand menerusi Kursi Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob Pengajian Melayu dan Ketamadunan akan menampilkan pembentang dari dalam dan luar negara.
-- BERNAMA