AM

15 Kawasan Di Semenanjung, Sabah Dan Sarawak Catat Panas Tahap 1 - MetMalaysia

26/04/2026 09:02 PM

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan status cuaca panas Tahap 1 atau kategori berjaga-jaga bagi 15 kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan di Semenanjung, kawasan terlibat ialah seluruh Perlis manakala di Kedah membabitkan Kubang Pasu, Pokok Sena, Pendang, Padang Terap, Kota Setar, Kuala Muda dan Sik.

Turut tersenarai ialah kawasan Hulu Perak di Perak serta Machang dan Pasir Mas di Kelantan.

Amaran sama turut dikeluarkan di Sabah melibatkan kawasan Beaufort serta tiga kawasan di Sarawak membabitkan Kapit, Limbang dan Marudi.

Menurut MetMalaysia, status Tahap 1 atau berjaga-jaga dikeluarkan apabila suhu maksimum harian di sesuatu kawasan mencecah 35 hingga 37 darjah Celsius untuk sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Orang ramai boleh merujuk laman web rasmi jabatan itu menerusi https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/ untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai status cuaca panas harian di seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2549700