DUNIA

Pilihan Raya Tempatan Tebing Barat: Pengiraan Undi Bermula

26/04/2026 10:51 AM

RAMALLAH, 26 April (Bernama-Anadolu) -- Peti undi ditutup pada Sabtu, 7 malam waktu tempatan (1600GMT) di semua pusat mengundi di seluruh Tebing Barat yang diduduki, tempat orang ramai mengundi untuk memilih wakil majlis tempatan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Wartawan Anadolu melaporkan pengiraan undi bermula sejurus pusat mengundi ditutup.

Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Palestin dalam kenyataan memaklumkan semua pusat mengundi ditutup tepat pada masanya, membenarkan hanya pengundi yang sudah berada di dalam balai untuk membuang undi.

Peratusan keluar mengundi mencecah 40.62 peratus menjelang 5 petang di Tebing Barat, termasuk perbandaran Deir al-Balah di tengah Gaza, menurut suruhanjaya itu.

Pusat mengundi di Deir al-Balah ditutup lebih awal pada 6 petang, menurut kenyataan awal yang dikeluarkan suruhanjaya berkenaan.

Terdahulu, sebanyak 491 pusat mengundi dengan 1,922 saluran dibuka pada 7 pagi untuk menerima kira-kira 1.03 juta pengundi yang memilih wakil bagi 183 badan tempatan.

Ini termasuk 90 majlis perbandaran termasuk Deir al-Balah, melibatkan 3,773 calon bertanding serta 93 majlis desa yang diserta 1,358 calon.

Buat pertama kali dalam tempoh 22 tahun, pengundian diadakan di Deir al-Balah, tempat penduduk membuang undi, memandangkan bandar itu sedikit kurang terjejas berbanding bahagian lain di Gaza berikutan pembunuhan beramai-ramai oleh Israel.

Gencatan senjata dicapai selepas dua tahun perang yang bermula pada Oktober 2023, membunuh lebih 72,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 172,000, selain mengakibatkan kemusnahan meluas kepada kira-kira 90 peratus infrastruktur awam Gaza.

Pilihan raya itu diadakan susulan kancah perpecahan politik Palestin yang berlanjutan sejak 2007, menekankan kepentingan untuk tadbir urus tempatan walaupun tiada pilihan raya perundangan dan presiden.

-- BERNAMA-ANADOLU 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2549484