Daripada Amiril Muttaqien Meketar
HORSENS (Denmark), 25 April (Bernama) -- Malaysia bermula kempen Kumpulan B Piala Uber 2026 dengan kemenangan dramatik 3-2 ke atas Turkiye di Forum Horsens, hari ini, selepas melalui aksi penuh debaran yang memakan masa hampir sepanjang perlawanan.
Gandingan debutan Low Zi Yu–Noraqilah Maisarah Ramdan muncul wira tidak diduga apabila menghadiahkan mata kemenangan buat Malaysia selepas menewaskan pasangan Yasemen Bektas–Zehra Erdem 21-18, 21-19 dalam tempoh 44 minit.
Dalam situasi getir, pasangan beregu wanita kedua negara dan ranking ke-143 dunia mempamerkan ketenangan luar biasa ketika diasak lawan untuk memastikan Malaysia mengelak daripada kejutan lebih awal.
Namun, Malaysia terlebih dahulu berdepan permulaan goyah apabila kedua-dua perseorangan wanita K. Letshanaa dan Wong Ling Ching dipaksa bekerja keras oleh pemain Turkiye.
Letshanaa yang menghuni ranking dunia ke-34 berhempas pulas hampir sejam sebelum menewaskan Neslihan Arin 21-16, 12-21, 21-13, manakala Ling Ching dikejutkan Ozge Bayrak 17-21, 21-15, 18-21 sekali gus membolehkan Turkiye menyamakan kedudukan 1-1.
Malaysia kembali mendahului menerusi Goh Jin Wei yang mudah menundukkan Erdem 21-14, 21-13 dalam masa 31 minit.
Bagaimanapun, Turkiye terus memberi tentangan apabila beregu pertama negara M. Thinaah–Ong Xin Yee tumpas dalam pertarungan sengit 22-20, 19-21, 19-21 kepada pasangan Bengisu Ercetin–Nazlican Inci dalam aksi selama 69 minit.
Malaysia dijadualkan menentang Afrika Selatan dalam perlawanan kedua sebelum menutup saingan Kumpulan B menentang juara enam kali, Jepun, Isnin ini.
Hanya dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan layak ke suku akhir.
-- BERNAMA