AM

MCMC Rakam Percakapan Individu Disyaki Sebar Berita Palsu Bekalan Diesel

24/04/2026 09:46 PM

PUTRAJAYA, 24 April (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini merakamkan percakapan seorang individu yang disyaki menyebarkan berita palsu berhubung dakwaan pembekalan bahan api diesel kepada Filipina.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan individu berkenaan yang ditemani peguamnya hadir ke ibu pejabat MCMC di Cyberjaya untuk memberikan keterangan.

"MCMC turut menyita seunit telefon bimbit dan satu kad SIM yang disyaki digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut bagi membantu proses siasatan. 

"Tindakan ini dibuat berpandukan Seksyen 248 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588]," menurut kenyataan itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta 588 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

MCMC menegaskan bahawa suruhanjaya itu memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial dan saluran digital untuk menyebarkan maklumat palsu yang boleh mengelirukan orang ramai.

"Tindakan penguatkuasaan yang tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang serta menjejaskan ketenteraman awam," menurut MCMC.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2549062