EKONOMI

Bekalan Plastik Global Terjejas, Kerajaan Pergiat Usaha Dapatkan Sumber Tambahan - TPM Fadillah

24/04/2026 07:51 PM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Bekalan plastik global kini terjejas akibat gangguan kepada pengeluaran minyak dan gas serta ketidaktentuan di Selat Hormuz, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata proses pembuatan plastik bergantung kepada bahan mentah seperti nafta, ammonia, ethylene dan propylene yang terhasil daripada minyak dan gas. 

“Plastik adalah komponen asas dalam kehidupan harian, termasuk pembungkusan pembungkusan makanan, barangan pengguna dan peralatan kesihatan,” katanya dalam Taklimat Krisis Bekalan Global yang disiarkan secara langsung di televisyen tempatan hari ini.

Justeru, beliau berkata kerajaan sedang mempergiat usaha mendapatkan sumber tambahan, memperluas kerjasama antarabangsa serta meneroka bahan mentah alternatif bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan.

“Setakat ini, bekalan dalam negara masih mencukupi untuk sekurang-kurangnya dua bulan,” katanya.

Beliau berkata industri plastik bergantung kepada bahan mentah berasaskan petrokimia seperti nafta, ammonia, etilena dan propilena yang dihasilkan daripada minyak dan gas.

Menurut beliau plastik merupakan komponen penting dalam pelbagai sektor ekonomi, termasuk pembungkusan makanan, barangan pengguna, peralatan kesihatan serta logistik.

“Bahan berasaskan minyak dan gas digunakan secara meluas dalam kehidupan seharian. Apabila berlaku gangguan kepada bekalan global, pengeluaran akan terhad dan kos dijangka meningkat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan telah memperoleh bekalan tambahan nafta dan resin dari China bagi menyokong keperluan sektor kesihatan.

Mengulas lanjut, Fadillah menegaskan kerajaan tidak akan membiarkan rakyat menanggung kesan tekanan rantaian bekalan global secara bersendirian.

“Kerajaan akan terus memastikan bekalan keperluan harian rakyat kekal terjamin,” katanya.

Beliau berkata kerajaan telah mengambil langkah awal dan akan terus memperkukuh usaha bagi memastikan rakyat dilindungi, dengan tumpuan kepada tiga strategi utama iaitu menjamin bekalan asas mencukupi, memanjangkan tempoh bekalan melalui pengurusan dan pengagihan berhemah serta mengekang kenaikan harga melalui pemantauan rapi dan tindakan tegas.

Terdahulu, industri pembuatan plastik negara dilaporkan dijangka terus berdepan ketidaktentuan dalam jangka masa pendek hingga sederhana susulan krisis di Asia Barat.

Beberapa gred resin turut dilaporkan melepasi paras US$2,000 setan, meningkat lebih 100 peratus berikutan konflik yang mengganggu aliran minyak mentah dan bahan petrokimia melalui Selat Hormuz, sekali gus menjejaskan bekalan huluan bagi pengeluaran resin.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2549022