KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Malaysia melihat potensi besar untuk memperluas pasaran produk pertanian ke Vietnam, termasuk produk ayam bernilai tambah, telur cecair dipasteur, produk itik serta sarang burung walit.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata usaha itu penting agar kerjasama teknikal yang dibina dapat diterjemahkan kepada manfaat ekonomi yang nyata untuk kedua-dua negara.
Beliau berkata demikian selepas melawat Vietnam Institute of Animal Husbandry and Veterinary Medicine di Vietnam hari ini.
Pada lawatan itu, Mohamad berkata beliau berpeluang melihat sendiri peranan penting institut berkenaan dalam memperkukuh sektor penternakan dan kesihatan haiwan, yang menjadi asas utama kepada jaminan bekalan makanan.
“Apabila sektor ternakan diurus dengan baik, bukan sahaja bekalan makanan lebih stabil dan selamat, malah turut membantu meningkatkan ekonomi luar bandar serta kesejahteraan rakyat,” katanya.
Mohamad turut menekankan kepentingan kerjasama antara Malaysia dan Vietnam, khususnya dalam bidang seperti pengesanan awal penyakit, pembangunan vaksin, amalan biosekuriti dan perkongsian kepakaran teknikal.
Menurutnya dalam keadaan dunia berdepan cabaran penyakit rentas sempadan dan perubahan iklim, kerjasama seumpama itu sangat penting untuk memastikan sektor makanan kekal kukuh.
-- BERNAMA