AM

KPT Salur RM10,000 Bagi Program Mobiliti INCLUDE 2026, Perkasa Agenda Pendidikan Inklusif

23/04/2026 02:18 PM

PUTRAJAYA, 23 April (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Yayasan Perkasa Siswa (YPS) menyalurkan sumbangan berjumlah RM10,000 bagi menjayakan program mobiliti  International & Inclusive Learning for Diverse Excellence (INCLUDE 2026).

KPT memaklumkan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bersetuju menyalurkan sumbangan itu ketika menyantuni 12 mahasiswa Orang Kurang Upaya (OKU) yang akan menyertai program berkenaan pada 5 hingga 9 Mei ini di Universitas Multimedia Nusantara, Jakarta, Indonesia.

Menurut kenyataan itu, mahasiswa berkenaan akan dibantu empat orang pelajar (buddies) dan empat orang pegawai pengiring.

“KPT menyokong penuh inisiatif inklusif Universiti Malaya (UM) menerusi pelaksanaan program tersebut,” menurut kenyataan KPT itu.

KPT memaklumkan program berkenaan merupakan langkah proaktif dalam memperkasakan mahasiswa OKU melalui pendedahan pengalaman pembelajaran di peringkat antarabangsa.

“Ia selaras dengan aspirasi KPT untuk memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi yang inklusif, saksama dan berdaya saing global,” menurut kenyataan itu.

INCLUDE 2026 merupakan program mobiliti outbound pertama yang direka khas bagi memenuhi keperluan unik pelajar OKU.

KPT memaklumkan inisiatif INCLUDE 2026 mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memastikan akses pendidikan tinggi yang adil tanpa mengira latar belakang atau keupayaan fizikal.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2548404