AM

Tangguh Akses Media Sosial Bawah 16 Tahun : Pendekatan ‘Bantu, Bukan Larang’ Lebih Praktikal

23/04/2026 03:47 AM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Desakan bagi menangguhkan akses media sosial kepada individu di bawah usia 16 tahun kini semakin meningkat, didorong kebimbangan pakar dan ibu bapa terhadap risiko buli siber, aktiviti pengantunan serta pendedahan kepada kandungan berbahaya.

Dasar yang dicadang dilaksanakan pada pertengahan tahun ini, mencontohi pendekatan ‘tangguh, bukan larang’ seperti di Australia, yang menyaksikan akaun sedia ada milik individu di bawah umur tidak dipadam sepenuhnya, sebaliknya dikekalkan di bawah pemantauan ketat ibu bapa.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia, sebelum ini memberi amaran bahawa golongan itu kini lebih terdedah kepada ancaman eksploitasi seksual dan buli dalam talian, berdasarkan data rasmi yang menunjukkan peningkatan kes yang membimbangkan.

Menurut laporan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebelum ini, sebanyak 1,578 permohonan dikemukakan antara Januari 2022 hingga 15 Feb tahun ini, bagi menurunkan kandungan melampau melibatkan kanak-kanak, dengan 96 peratus daripadanya berjaya dipadamkan.

Dalam tempoh yang sama, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merekodkan 8,399 aduan berkaitan buli siber dari Januari hingga Oktober tahun lepas, bersamaan purata 27 kes sehari.

Mengulas mengenai senario ini, Pakar Psikoterapi Dr Prem Kumar berkata ancaman dalam era digital telah berubah dengan ketara, apabila media sosial memperluas risiko melangkaui persekitaran tradisional.

“Hari ini, ia (ancaman) berlaku 24 jam tanpa had waktu persekolahan atau lokasi tertentu. Faktor anonimiti dan capaian yang meluas menjadikan kanak-kanak lebih terdedah, selain mengurangkan akauntabiliti pelaku,” katanya.

Beliau berkata pendedahan awal kepada penderaan siber boleh mengganggu proses pembentukan identiti remaja, termasuk risiko hilang rasa percaya dan timbul rasa rendah diri yang boleh berlarutan sehingga dewasa.

Menyentuh mengenai langkah penangguhan yang dicadangkan, Dr Prem menegaskan bahawa peraturan semata-mata tidak akan menyelesaikan punca masalah sebenar.

“Larangan sahaja tidak pernah berkesan. Ia perlu melibatkan bimbingan, literasi digital dan tanggungjawab bersama pelbagai pihak,” katanya.

Sementara itu, Pakar Psikologi Joel Low berpendapat tahap pendedahan yang terlalu tinggi di platform digital, bukan sahaja membebankan emosi golongan dewasa malah kanak-kanak, sekali gus menjejaskan pembentukan identiti mereka.

Beliau menyifatkan dasar penangguhan akses itu sebagai satu ‘permulaan yang baik’, namun perlu disokong dengan kempen kesedaran dan pendidikan yang lebih kukuh sebagai sebahagian daripada strategi pengurusan risiko.

Bagi pihak ibu bapa, faktor kematangan menjadi kerisauan utama memandangkan golongan bawah 16 tahun, dianggap belum berupaya menguruskan risiko dalam talian secara kendiri.

Rebecca Lee, ibu kepada seorang kanak-kanak berusia 10 tahun berkata golongan di bawah usia 16 tahun, pada realitinya belum cukup matang untuk menguruskan risiko dalam talian.

“Kanak-kanak boleh terdedah kepada kandungan berbahaya pada bila-bila masa menerusi penggunaan pasif, seperti melayari kandungan atau menonton video, yang boleh menyebabkan mereka keliru serta menimbulkan rasa ingin tahu yang tidak sihat terhadap bahan berunsur seksual tanpa sebarang amaran,” katanya.

Beliau berkata alat kawalan ibu bapa dan sistem laporan masih tidak mencukupi untuk melindungi kanak-kanak secara menyeluruh, justeru menekankan kepentingan aspek pendidikan serta persediaan mental sebelum mereka dibenarkan menggunakan media sosial.

“Tiada aplikasi atau penapis yang boleh menggantikan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak. Yang paling penting ialah membina kepercayaan dan memastikan anak-anak tahu mereka boleh berkongsi dengan ibu bapa pada bila-bila masa jika dirasakan ada sesuatu yang tidak kena,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2548266