Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah sedikit berbanding dolar AS pada Rabu berikutan pelabur beralih kepada mata wang selamat dan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain dan negara serantau.
Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 3.9510/9550 berbanding dolar AS daripada 3.9490/9530 pada Selasa.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit kekal dalam julat kecil berbanding dolar AS, bergerak antara RM3.9528 hingga RM3.9575.
Menurutnya pasaran terus berhati-hati berikutan tidak banyak perkembangan baharu dalam rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran.
“Peniaga dan pelabur berharap kata sepakat dalam masa terdekat ini dapat melanjutkan gencatan senjata dan akhirnya akan memudahkan pembukaan semula Selat Hormuz,” katanya kepada Bernama.
Pada akhir dagangan, ringgit kebanyakannya diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.6408/6455 daripada 4.6436/6483 pada Selasa dan naik berbanding yen Jepun kepada 2.4794/4821 daripada 2.4802/4829, namun menyusut berbanding pound Britain kepada 5.3414/3468 daripada 5.3323/3377.
Mata wang tempatan turut diniagakan meningkat berbanding mata wang serantau.
Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1030/1063 daripada 3.1043/1077 dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.2717/2902 daripada 12.2983/3162.
Ringgit turut mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 229.9/230.2 daripada 230.3/230.7 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.57/6.58 daripada 6.59/6.60 sebelum ini.
-- BERNAMA